Langkah bijak ambil alih FGV

KUALA LUMPUR: Cadangan FELDA untuk mengambil alih semula 350,000 hektar tanah yang dipajak kepada FGV Holdings Bhd (FGV) adalah satu langkah yang baik dan sesuai ketika ini.

Presiden Generasi Warisan Kebangsaan (GENERASI), Ustaz Roslan Md Esa, berkata pertubuhannya menyambut baik tindakan FELDA itu.

Advertisement

Beliau berpendapat langkah FELDA dilihat sebagai satu pelan transformasi yang dikira sebagai moden perniagaan yang efisyen dan berdaya saing untuk agensi itu.

Katanya, walaupun kemungkinan kerajaan terpaksa menanggung pampasan dan kos-kos tertentu, namun ia dilihat akan memberi keuntungan buat peneroka FELDA dan kerajaan dalam jangka masa panjang akan datang.

Terdahulu, Pengerusi FELDA, Dato’ Seri Idris Jusoh menjelaskan pendapatan FELDA daripada keuntungan operasi ladangnya mula merosot sejak tahun 2012.

Perkara ini berlaku selepas FGV disenaraikan di Bursa Malaysia dengan yang terkini pada 2019, hanya merekodkan keuntungan sebanyak RM16.51 juta.

Kata Idris jumlah berkenaan jauh berbeza daripada yang pernah dicatatkan FELDA sebelum itu dengan nilai tertinggi pernah dicapai pada tahun 2011, iaitu RM1.85 bilion.

Jelas Idris, sebelum ini keuntungan berbilion ringgit bukan sesuatu yang baharu buat FELDA, malah sejak 2007, keuntungan operasi ladang FELDA semuanya melepasi paras RM1 bilion kecuali pada 2009 yang mencatatkan RM854 juta.

Selepas (FGV) disenaraikan, nilai keuntungan FELDA mula jatuh dengan banyak sehinggakan FELDA terpaksa berhutang dengan bank dan sehingga kini hutang telah mencecah RM10 bilion.

Idris juga berkata, FGV sepatutnya memulangkan hasil daripada tanah yang dipajak itu kepada FELDA pada kadar RM800 juta setahun, namun ia tidak berlaku dengan kadar purata yang diterima hanya RM250 juta.

Dalam pada itu, GENERASI yakin bahawa Pengerusi FELDA itu mampu membawa kembali FELDA ke arah yang lebih baik.

Ustaz Roslan yang dihubungi Harakahdaily di sini hari ini, berkata tindakan itu juga tepat dengan slogan FELDA sebagai lombong emas, peneroka perintis, berani dan suka kepada cabaran.

Justeru itu, Ustaz Roslan berharap agar nasib dan hak peneroka terus terbela dan menjadi keutamaan dan memberi peluang membangunkan ekonomi, pendidikan khususnya buat generasi akan datang. – HARAKAHDAILY 22/10/2020