Dr Khairuddin tidak langgar perintah kuarantin

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara mengesahkan bahawa siasatan yang dijalankan ke atas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi mendapati tiada pelanggaran perintah kuarantin.

Dalam satu kenyataannya semalam, jabatan tersebut mengesahkan bahawa siasatan polis berkenaan laporan terhadap menteri berkaitan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] telah dijalankan dan telah dilengkapkan.

Advertisement

Penelitian pihak jabatan terhadap kertas siasatan yang dihantar oleh pihak polis mendedahkan yang Dato’ Dr Mohd Khairuddin Aman Razali telah berkunjung ke Turki pada 3 Julai 2020 dan kembali ke Malaysia pada 7 Julai 2020.

Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Mohd Khairuddin telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan proses saringan COVID-19 (ujian swab) dan keputusannya didapati negatif.

Kata kenyataan itu lagi, menteri itu dibenarkan pulang ke kediamannya oleh pegawai yang diberi kuasa daripada Kementerian Kesihatan yang dilantik di bawah seksyen 3 Akta 342.

Lanjutan selepas itu, menteri menjalani saringan kesihatan kali kedua pada 10 Julai 2020 di Hospital Kuala Lumpur atas tujuan untuk menghadiri satu majlis di Istana Negara pada 17 Ogos 2020. Keputusan ujian saringan kedua juga didapati negatif.

Sebelum itu, polis telah menjalankan siasatan terperinci terhadap laporan yang diserahkan oleh pengadu yang menuduh menteri telah melanggar arahan kuarantin wajib di rumah semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuatkuasa sekembalinya beliau dari Turki yang dikatakan sepatutnya dijalani dari 7 Julai 2020 sehingga 21 Julai 2020.

Kertas siasatan kemudiannya telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk arahan selanjutnya.

Selepas pertimbangan penuh dan mengambil kira semua bukti yang ada, Jabatan ini mendapati tiada arahan perintah pemerhatian dan pengawasan rumah dikeluarkan oleh pegawai diberi kuasa dalam menggunakan budi bicaranya kepada menteri untuk beliau mematuhi arahan perintah pemerhatian dan pengawasan rumah.

Tambah beliau perintah itu sebagaimana termaktub di bawah sub-seksyen 15(1) Akta 342 seperti dituduh oleh pengadu.

Borang 14b sebagaimana dinyatakan dalam Garis Panduan oleh Kementerian Kesihatan yang mengandungi arahan perintah pemerhatian dan pengawasan rumah di bawah sub-seksyen 15(1) Akta 342 tidak pernah dikeluarkan kepada Menteri sebelum beliau dibenarkan beredar.

Untuk sesuatu perbuatan dikira sebagai satu kesalahan melanggar arahan kuarantin di rumah di bawah Akta 342, arahan perintah pemerhatian dan pengawasan rumah mestilah dikeluarkan kepada Menteri di bawah sub-seksyen 15(1) Akta 342.

Justeru itu, mengambil kira pertimbangan di atas, Jabatan Peguam Negara mengambil keputusan untuk tidak mengenakan sebarang dakwaan ke atas menteri disebabkan kekurangan bukti dan sekaligus gagal memenuhi beban pembuktian yang diperlukan di bawah undang-undang. – HARAKAHDAILY 22/10/2020