Biarpun berbeza, namun kita boleh saling melengkapi

KITA yang baru bertemu sering menyangka kita sudah tahu semua, padahal kita datang dari jalan berbeza. Yang kita tahu itu tempat tinggalnya bukan suasana di dalam rumah dia, kita berkongsi hobi bukan isi hati, kita tahu bilangan umur bukan pengalaman yang telah dia lalui. 

Apa kita tahu bahawa buruk dia yang sekarang adalah dia yang lebih baik dari dia sebelumnya? Apa kita tahu sudah berapa banyak dosa silamnya yang diampun oleh Tuhan dengan istighfar dan air mata penyesalan? Apa kita tahu berapa banyak beban yang sedang ditanggung oleh dia yang tidak pernah mengeluh di hadapan kita? Sungguh, kita tidak tahu.

Bila mana Islam mengajar kita mengenai sangka baik, ia bukanlah untuk  kebaikan mereka tetapi untuk kita. Sangka baik yang menjaga kita dari fitnah dan tipu daya. Sangka baik yang memberi kita harapan dan kekuatan untuk terus berusaha. Menjadi teman itu bukan mengenai mencari yang sempurna tetapi saling menyempurnakan.

Advertisement

Seperti yang disebut oleh as-Syahid Imam Hasan Al-Banna di dalam Risalah Ta’alim:

“Serendah-rendah tahap ukhuwah ialah berlapang dada manakala setinggi-tinggi martabat ukhuwah adalah mementingkan sahabat melebihi diri sendiri.”

Allah itu Maha Tahu, Maha Penyayang. Tak perlu dicari cari salahnya orang, cukup menegur yang jelas berdosa di hadapan mata dan terus mengajak semuanya ke arah kebaikan. Dan bila dinasihatkan, bersangka baiklah juga walau siapa pun dia. Terima dengan hati yang terbuka dan muhasabah di mana silap kita. 

Dunia ini sudah ada banyak fitnah dan masalah, tak perlu ditambah dengan sangkaan-sangkaan kita yang entah betul entah tidak. Menjaga diri dari perkara belum pasti itu jauh lebih baik. Dan jika ragu, selidiklah sehingga kita yakin. 

Jangan risau, Allah itu adil. Berdoalah semoga kita termasuk dalam golongan mereka yang beriman dan bertakwa: 

يَـٰٓأَيُّہَا الَّذينَ ءآمَنُوا اجتَنِبوا كَثيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعضَ الظَّنِّ إِثمٌ ۖ وَلا تَجَسَّسوا وَلا يَغتَب بَّعضُكُم بَعضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُم أَن يَأكُلَ لَحمَ أَخيهِ مَيتًا فَكَرِهتُموهُ ۚ وَاتَّقُوا اللهَ ۚ إِنَّ اللهَ تَوّابٌ رَّحيمٌ

“Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.”

[al-Hujurat: 12]

AMAL AJLAA R.AZNI
Timbalan Pengerusi SIGMA 2020 – HARAKAHDAILY 22/10/2020