Akta baharu berkaitan COVID-19 diwartakan

- Advertisement -

KERAJAAN Persekutuan daripada awal lagi amat komited dan prihatin terhadap usaha mengurangkan kesan COVID-19 bukan sahaja dalam aspek kesihatan, tetapi juga terhadap ekonomi individu dan syarikat di negara ini. 

Antara langkah yang diambil adalah dengan mengadakan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 yang diluluskan di Dewan Rakyat pada 25 Ogos 2020 dan Dewan Negara pada 22 September 2020 dan dijadualkan diwartakan pada 23 Oktober 2020 setelah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan.

Akta ini akan berkuat kuasa selama dua (2) tahun dari tarikh penyiaran pada 23 Oktober dalam Warta Kerajaan, atau sebagaimana tarikh dan tempoh kuat kuasa yang telah diperuntukkan di mana-mana Bahagian yang berkaitan dalam Akta ini.

Pelaksanaan ini secara keseluruhannya dapat memberi manfaat kepada setiap individu dan syarikat yang terkesan dari aspek ekonomi akibat penularan COVID-19.

Pada masa sama, pihak-pihak berkontrak yang bertikai boleh menyelesaikan pertikaian secara baik tanpa melibatkan proses perbicaraan undang-undang di mahkamah melalui perkhidmatan pengantaraan Pusat Mediasi COVID-19 (PMC-19) yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri. Perkhidmatan pengantaraan yang akan dijalankan melalui PMC-19 adalah terbuka kepada semua pihak dengan nilai pertikaian RM300,000 ke bawah.

Kerajaan juga akan membiayai kos perkhidmatan pengantaraan kepada golongan B40 dan M40 serta perusahaan bersaiz mikro dan kecil. Sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan pengantaraan ini boleh diajukan melalui [email protected].

DATO’ TAKIYUDDIN HASSAN
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Parlimen dan Undang-Undang)
22 Oktober 2020 – HARAKAHDAILY 22/10/2020

- Advertisement -
- Advertisement -