Sila jawab fitnah Vellfire di mahkamah – Sanusi

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor akan mengambil tindakan undang-undang terhadap beberapa individu yang membuat tuduhan fitnah mengaitnya dengan pembelian Vellfire baru-baru ini.

Katanya, beliau melantik peguam bagi menyaman fitnah pihak terbabit yang akan difailkan minggu hadapan.

- Advertisement -

Menurutnya adalah lebih wajar pihak yang membuat tuduhan mendapat penjelasan terlebih dahulu.

“Tuduhan mereka terbukti berunsur sangkaan buruk semata-mata. Beberapa tulisan dan rakaman ‘live’ dibuat di media sosial pembangkang.

“Mereka menuduh saya memiliki Vellfire yang dibeli SADA dan kononnya saya pergi dengan kenderaan itu jam 2.30 pagi, sedangkan saya tak tahu apa-apa pun.

“Tunggu kita fail saman minggu depan, yang pandai cakap tu sila jawab di mahkamah nanti,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

Baru-baru ini Syarikat Air Darul Aman (SADA) menjelaskan Toyota Vellfire nombor pendaftaran KEP 5000 yang tular di media sosial dibeli untuk kegunaan rasmi syarikat.

Pegawai Perhubungan Awam SADA, Anas Aidi Md Rozai menjelaskan Menteri Besar Kedah tidak terlibat dalam keputusan pembelian kenderaan tersebut.

Bagaimanapun Muhammad Sanusi juga berkata, beliau mempunyai Vellfire nombor plat KET 5000 namun sudah lama tidak digunakan.

“Saya beli model Vellfire 2009/2014 pada tahun 2018, masa tu saya belum menjadi Menteri Besar lagi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 21/10/2020

- Advertisement -