Sambutan 3 dekad ketika K’tan bukan lagi pembangkang

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sambutan ulang tahun tiga dekad dasar Membangun Bersama Islam (MBI) hari ini mencatat sejarah kerana ia diraikan ketika Kelantan bukan lagi negeri pembangkang.

Sedangkan 29 tahun lepas perayaan serupa diraikan dalam suasana Kelantan sebagai negeri diterajui pembangkang.

- Advertisement -

Ketua Dewan Pemuda PAS Kelantan Mohd Ariff Abdullah berkata, sambutan ulang tahun kali ini lebih bermakna apabila PAS turut sama berada dalam Kerajaan Persekutuan.

“Tiga dekad Kerajaan Membangun Bersama Islam sangat bermakna kepada kita semua. Ia bukan sekadar tempoh masa.

“Namun bagaimana tempoh tiga dekad digunakan mengajak rakyat mengabdikan diri kepada Allah Taala dalam semua lapangan kehidupan.

“Semoga Allah terus memperkukuhkan kerajaan Kelantan dan menguatkan semangat pimpinan bekerja untuk menuju keberkatan Ilahi,” katanya di sini.

Hari ini genap usia 30 tahun Kelantan diterajui kepemimpinan ulamak selepas menguasai negeri itu pada 21 Oktober 1990 dengan gandingan Angkatan Perpaduan Ummah.

Pada pilihan raya tersebut, PAS, Semangat 46, Hamim dan Berjasa menang di 39 kerusi Dun dan 13 kawasan parlimen. Manakala Umno dan BN gagal memenangi sebarang kerusi di peringkat Dun dan parlimen.

Sambutan ulang tahun tersebut tidak diadakan seperti lazimnya memandangkan pandemik Covid-19 yang semakin membimbangkan sekarang.

Mohd Ariff juga berkata, tempoh pemerintahan di Kelantan merupakan suatu kejayaan PAS kepada Malaysia khususnya dalam aspek politik.

“Hasil daripada kuasa politik dengan menguasai kerajaan negeri, kita berjaya mengangkat dasar Islam dalam pemerintahan.

“Lebih membanggakan lebih 100 perubahan yang dibuat kerajaan negeri. Perubahan itu juga ditiru negeri-negeri lain dan kerajaan pusat,” ujarnya.

Antaranya cuti bersalin 42 hari, cuti bekerja dua hari seminggu, mengharamkan paparan iklan wanita tanpa menutup aurat dan menutup premis perjudian. – HARAKAHDAILY 21/10/2020

- Advertisement -