My Healthy Garden: Transformasi landskap sekolah

IPOH: Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri, Razman Zakaria berkata, kelestarian alam merupakan tanggungjawab bersama baik dari pihak kerajaan mahupun rakyat.

Advertisement

Hal demikian kerana jelasnya, sinergi yang mapan itu mampu memberi impak besar terhadap kehidupan masyarakat, landskap hijau yang terpelihara, di samping melahirkan persekitaran kondusif untuk menjalankan aktiviti harian.

Berikutan usaha murni itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak kini dalam usaha memperkasakan pengurusan Hal Ehwal Murid (HEM) Negeri Perak dengan mewujudkan ‘My Healthy Garden’.

Menurutnya, program itu memaparkan konsep penanaman tumbuh-tumbuhan dalam persekitaran sekolah dengan informasi 3K iaitu kebersihan, kesihatan dan keselamatan.

Menurut Razman tindakan ini adalah sejajar dengan kebimbangan yang dinyatakan oleh Sultan Perak berkenaan isu kelestarian alam di mana mengancam perubahan iklim dan pemanasan global.

“Menerusi kerjasama antara Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Perak dan Kerajaan Negeri, sebuah kawasan kondusif dalam persekitaran sekolah dapat diwujudkan sekali gus menjadikan kawasan sekolah sebagai kawasan yang bersih, indah dan ceria,’’ ujarnya.

Ketika melancarkan My Healthy Garden dan #MySalamPerak itu Razman menegaskan program ini turut menggalakkan pelajar mencintai alam sekitar selain melatih diri menjadi agen penyampai maklumat konsep pertanian bandar.

Menerusi program ini, 24 sekolah telah dibekalkan dengan ‘Hygrowpot Linktech Type-R 28’ (HLT) iaitu set yang membolehkan murid ‘Junior Health Ambassador’ dan guru menanam tumbuhan menggunakan kombinasi teknik fertigasi dan hidroponik.

Dalam pada itu, kerajaan negeri melalui portfolio Razman dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri turut merancang untuk memperluas usaha yang sama ke seluruh sekolah di Perak sebagai usaha tersebut. – HARAKAHDAILY 21/10/2020