Aktiviti sukan beri manfaat jasmani, rohani

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menggalakkan golongan belia aktif dalam aktiviti sukan yang memberi manfaat serta kebaikan kepada jasmani dan rohani.

Menteri Besar Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Belia dan Sukan sedang membuat perancangan untuk mewujudkan kemudahan sukan yang lebih baik.

Advertisement

Katanya, anak-anak muda digalak terbabit dengan aktiviti sukan yang boleh memberi kebaikan kepada jasmani mereka.

“Kita mahu anak muda kita terlibat dalam sukan termasuk taekwondo sebagai salah satu cara mempertahankan diri serta sebagai persediaan untuk membina jati diri yang kuat,” katanya pada pertemuan bersama Persatuan Taekwondo Kelantan di Mabna MBI Kompleks Kota Darulnaim, semalam.

Turut hadir Timbalan Speaker Dun Dato’ Abdul Fattah Mahmood, anggota Exco kerajaan negeri Ustaz Wan Roslan Wan Hamat dan Presiden Persatuan Taekwondo Kelantan Prof Dato’ Dr Abdul Rahman Izaini Abdul Ghani.

Pada majlis itu persatuan terbabit turut menyerahkan tali pinggang hitam kehormat kepada ketiga-tiga pemimpin terbabit. – HARAKAHDAILY 21/10/2020