KOTA BHARU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berusaha menambah baik program serta aktiviti kebajikan kepada golongan sasaran.
Timbalan Menterinya Dato’ Siti Zailah Yusoff berkata, antaranya usaha melahirkan wanita, keluarga dan masyarakat yang berilmu.
Katanya kementerian berkenan bukan lagi sekadar melahirkan mereka yang cemerlang dalam bidang akademik semata-mata, sebaliknya perlu kemantapan rohani.
“Sebagai contoh penjagaan anak yatim, ibu tunggal dan sebagainya, tanpa ilmu berkaitan kerohanian mereka tidak akan mampu berhadapan dengan
cabaran dan suasana anak-anak sekarang.
“Di samping pelbagai program yang dilaksanakan agensi di bawah KPWKM, program kemantapan ilmu di antara hasrat untuk kita bawa perubahan di kementerian,” katanya selepas menghadiri rancangan bual bicara bersama Kelantan TV semalam.
Siti Zailah yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berkata, beliau bercadang menjalinkan kolaborasi di antara agensi-agensi di bawah kementerian terbabit.
KPWKM mempunyai lima agensi iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Pembangunan Wanita, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, Yayasan Kebajikan Negara dan Institut Sosial Malaysia. – HARAKAHDAILY 21/10/2020