RATA-rata rakyat sudah tidak tahan melihat ada pihak sibuk berpencak di pentas politik tanpa memikirkan keresahan segenap lapisan rakyat menghadapi Covid-19 yang merenggut kestabilan ekonomi dan ketenangan rakyat.
Rasanya cukuplah negara menghadapi pilihan raya setiap empat kelima tahun dan tidak perlulah kita menghadapi kemelut politik setiap masa sehingga rakyat muak dan hampa dengan karenah ahli politik yang mementingkan kuasa dari rakyat yang mereka wakili.
Perlulah diingat, pemimpin yang terpilih dan dilantik kerana undi rakyat, kuasa yang mereka ada adalah mandat dari rakyat.
Jadi sudah semestinya puncak prioriti adalah menjaga kebajikan dan kestabilan semua rakyat jelata. Kuasa yang mereka perolehi adalah untuk membantu rakyat bukan untuk mengisi periuk sendiri.
Rakyat pula janganlah terpedaya dengan mainan media upahan mereka dengan kerap menyalahkan pihak kerajaan sedangkan mereka yang begitu mendesak ingin mengadakan pilihan raya Sabah dan tidak cukup dengan itu, melayangkan pula surat kepada Yang Dipertuan Agong untuk menyatakan ada sebilangan ahli parlimen menyokong mereka sedangkan yang dihantar cuma angka.
Isu dipanjangkan dengan undi tidak percaya kepada Perdana Menteri yang telah diiktiraf sebagai antara negara yang mengambil langkah efektif menangani pandemik ini.
Terlalu pentingkah menjatuhkan Perdana Menteri pada ketika ini? Adakah sehingga sanggup melibatkan kehilangan banyak lagi nyawa?
Mereka ada kalanya lupa melihat kesalahan yang mereka ambil ketika meneraju negara. Berapa banyak masa yang telah mereka buang ketika meletakkan negara berhadapan krisis kerajaan dan pada masa yang sama dunia berperang dengan Covid-19?
Betapa lemahnya mereka menutup sempadan Malaysia dari warga China yang sudah dijangkiti pada ketika itu. Setelah mereka tidak menerajui negara, mereka pula menentang isu perbekalan yang diusahakan untuk membantu rakyat yang kesusahan.
Cukuplah dengan keributan yang mereka timbulkan ketika ini. Rakyat harus menjadi hakim untuk memastikan tiada lagi peluang mereka bangkit kembali menerajui negara.
Bebaskan negara ini dari pihak yang berpolitik tak kira masa. Ini masanya kita memilih pemimpin yang benar-benar berjuang untuk rakyat. Benamkan mereka yang sibuk mencari kuasa.
Dewan Muslimat PAS Malaysia ingin mengulangi satu hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim, “Tidak harus bagi seseorang yang beriman disengat sebanyak dua kali daripada satu lubang (yang sama).” [Riwayat al-Bukhari 6133 dan Muslim 2998].
Semoga kita semua mengambil apa yang berlaku ini sebagai satu ibrah dan pengajaran untuk tidak mengulangi lagi kesilapan masa lalu.
Islam Memimpin Memperkukuh Perpaduan
Islam Memimpin Wanita Sejahtera
DR NAJIHATUSSALEHAH AHMAD
Ketua Penerangan,
Dewan Muslimat PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 20/10/2020