Sanah Helwah Tuan Guru Presiden PAS

- Advertisement -

TAHUN 2020 pastinya tahun yang paling mencabar buat Presiden Parti Islam Se-Malaysia, Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang atau lebih mesra dipanggil Ayah Cik. Dalam keadaan dunia yang sedang menghadapi wabak pandemik COVID-19, negara juga telah menghadapi krisis politik sehingga berlaku pertukaran kerajaan. Melalui kebijaksanaan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XVI, Kerajaan Perikatan Nasional berjaya dibentuk dan diketuai oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama dengan jamaah Menteri yang dilantik.

Keberadaan PAS di dalam Kerajaan Persekutuan, ramai yang menyangka bahawa Tuan Guru Haji Abdul Hadi akan menduduki kerusi-kerusi panas dalam kerajaan. Namun yang berlaku adalah sebaliknya, hal ini kerana berdasarkan kenyataan Tuan Guru Haji Abdul Hadi sendiri yang menolak jawatan sebagai Menteri. Walau bagaimanapun, Tuan Guru Haji Abdul Hadi tetap diberikan portfolio dalam kerajaan sebagai Duta Khas Perdana Menteri bertaraf Menteri ke Timur Tengah. Bersesuaian dengan kepakaran dan pengalaman yang dimiliki oleh beliau dalam politik antarabangsa terutama di Timur Tengah.

Inilah susuk tubuh seorang Presiden Parti Islam yang semakin dikenali dan digeruni tidak kira sama ada kawan mahupun lawan. Namun tidak semudah yang disangka kerana terlalu banyak mehnah dan tribulasi yang dihadapi oleh beliau.

- Advertisement -

Melalui satu video temubual bersama wartawan media MalaysiaGazette TV, Tuan Guru Haji Abdul Hadi menyatakan pengalaman yang paling tidak dilupakan sepanjang menjadi ahli politik adalah ketika berlaku perubahan kerajaan pada Mac lalu. Selama 22 bulan kerajaan di bawah pemerintahan yang majoritinya diketuai oleh orang bukan-Islam mengalami krisis politik yang terpaksa berakhir dengan situasi pertukaran kerajaan, lalu terbentuk Kerajaan Perikatan Nasional. Beliau berkata, peristiwa ini adalah suatu perubahan yang menarik.

Begitu jelas usaha keras Tuan Guru Haji Abdul Hadi dalam menyatukan orang Melayu dan Islam. Beliau juga tidak menafikan orang bukan-Islam di dalam negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk. Setelah berhasil membentuk piagam Muafakat Nasional bersama Umno, kini Tuan Guru terus kuat memperkukuhkan Muafakat Nasional dan tetap berdiri mempertahankan Kerajaan Perikatan Nasional demi menjaga maslahah ummah di negara ini.

Bersesuaian dengan tema Muktamar PAS pada tahun ini Islam Memperkukuh Perpaduan, barisan kepimpinan PAS khususnya Tuan Guru Haji Abdul Hadi, pastinya mahu memperkukuhkan penyatuan yang telah berhasil dibina. 

Dalam kesukaran yang dihadapi oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi dalam memimpin parti serta tanggungjawab dalam kerajaan, beliau masih kelihatan teguh berdiri dan bersemangat dalam meneruskan perjuangan demi Islam. 

Bersempena hari bersejarah ini, Dewan Muslimat PAS Malaysia mengucapkan Selamat Hari Ulang Tahun Kelahiran kali ke 73 kepada Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Semoga Allah terus membimbing Tuan Guru dan diberi kekuatan untuk terus memimpin jamaah Islam serta menyampaikan ilmu kepada masyarakat.

YB SENATOR USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia
20 Oktober 2020 bersamaan 03 Rabiulawal 1442H – HARAKAHDAILY 20/10/2020

- Advertisement -