Riadah santai sihatkan minda dan tubuh badan

- Advertisement -

TAMBUN: Kehidupan Islam merangkumi tiga aspek utama iaitu tarbiyah ruhiyah, ‘aqliyah dan jasmaniyah, demikian kata Pengarah Komunikasi Strategik (STRATCOM) Negeri Perak, Ustaz Hafez Sabri.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika merasmikan program riadah santai anjuran Pertubuhan Komuniti Peduli Ipoh Perak (PKPI) yang berlangsung di Extreme Park, Tambun di sini kelmarin.

Katanya, pepatah Arab mengatakan akal yang sihat datang daripada tubuh badan sihat itu seharusnya menjadi motivasi buat semua umat Islam khususnya untuk terus berjuang dan menjadikan Islam sebagai cara hidup masing-masing.

Beliau yang juga merupakan Pengarah Jabatan Seni, Kebudayaan dan Sukan (DACS) Malaysia menjelaskan usaha itu turut dijayakan pihaknya melalui penganjuran program ‘Fit is Sunnah’ di mana terdapat 15 kelab menampilkan pelbagai aktiviti bermanfaat yang boleh digerakkan di semua peringkat.

Ketika merasmikan program itu, beliau juga turut berkongsi kisah inspirasi kejayaan pemain muda bola sepak negara yang kini mewakili Kkelab di Belgium, Luqman Hakim Shamsudin dan legenda bola sepak Perak, Ahmad Shahrul Azhar sebagai suntikan semangat untuk menggapai kejayaan hidup.

Terdahulu, menurut Timbalan Pengerusi PKPI, Eddy Nor Abd Manan pihaknya amat berbesar hati dengan sokongan serta komitmen penyertaan masyarakat setempat melibatkan dua acara utama, futsal lelaki dan badminton ke program yang julung kali diadakan ini.

“Saya berharap peserta yang hadir kali ini dapat mengajak lebih ramai (kenalan) untuk hadir ke program riadah santai ini. InsyaAllah kita akan adakan secara bulanan, (iaitu) setiap minggu ketiga,” jelas beliau yang juga merupakan Ketua Jawatankuasa Sementara Pengurusan Kampung (JSPK) Batu 5.

Dalam pada itu, Pengerusi PKPI, Ustaz Salleh Said turut hadir menyampaikan kalam murabbi sebagai pengisian rohani selepas program riadah santai itu berlangsung. – HARAKAHDAILY 20/10/2020

- Advertisement -