Perak seru cendekiawan ‘pulang’ bangunkan negeri

- Advertisement -

TAPAH: Perak merupakan negeri yang kaya dengan hasil bumi dan berada dalam arus pembangunan terancang, demikian kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Negeri, Razman Zakaria.

- Advertisement -

Namun begitu jelasnya, Perak masih kekurangan tenaga pakar dan golongan cendekiawan terutamanya yang berasal dari negeri ini untuk kembali menabur bakti membangunkan negeri setelah tamat melanjutkan pembelajaran.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bertempat di Sentosa Eco Park, Chenderiang, di sini kelmarin. 

Di dalam ucapannya, Razman berkata, ia menjadi satu kerugian kerana ramai modal insan di negeri Perak mempunyai tahap intelektual yang tinggi namun memberikan khidmat bakti di negeri lain.

“Maka perkara ini (menjadi) satu inisiatif penting kepada kerajaan untuk kembali mengumpulkan cendekiawan Perak yang berada di negeri lain supaya mereka memikirkan kaedah terbaik membangunkan ekonomi negeri di samping mereka turut bersama menyumbang tenaga dan buah fikiran.

“Antara usaha awal yang telah dimulakan oleh Kerajaan Negeri bersama Jabatan Pendidikan Negeri Perak ialah meningkatkan ranking keputusan peperiksaan SPM dan STPM ke tangga lima terbaik dalam gred purata kebangsaan,” jelas Razman.

Selain itu menurut Razman, pihaknya kini juga sedang menggiatkan usaha dan menggalakkan pelajar sekolah mengikuti pengajaran dan pembelajaran berasaskan Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) bagi memenuhi pekerjaan ke arah Industri 4.0.

“Semua pihak perlu duduk semeja dan mengetepikan sentimen politik dan fokus dalam agenda membangunkan negeri Perak. Dengan bantuan daripada golongan profesional dan cendekiawan ini, (disusuli) tindakan dan penstrukturan perancangan ekonomi yang lebih mapan, tidak mustahil Perak mampu memberikan sumbangan terbesar dalam ekonomi negara,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/10/2020

- Advertisement -