Pendakwah mesti ‘mendatangi’ masyarakatnya

- Advertisement -

KADANG-kadang rasa seronok juga bila kita berada di tempat awam di sekitar kampung kita sendiri, lalu tidak dikenali oleh mereka yang berada di situ. Kita pun rasa bebas dan tidak serabut. Hati kecil berbisik, orang yang ikhlas tidak terjejas pada hatinya sama ada dikenali atau tidak dalam keramaian. Dia tidak suka disambut dan diraikan. 

Tapi dari satu sudut pandang yang lain, bukankah itu gambaran bahawa jauhnya peribadi kita dari masyarakat? Adakah itu indikator atau kayu ukur bahawa terbatasnya ruang dakwah kita sehingga hanya berlegar di kalangan tertentu sahaja seperti di masjid dan surau? 

- Advertisement -

Mungkin kita boleh salahkan mereka yang tidak kenal itu kerana mereka tidak pergi ke masjid dan surau… Tapi, bukankah kerja pendakwah itu pergi menemui mad’unya bukan menunggu didatangi?

Sekiranya kita sudah sering atau kerap menziarahi dan mendatangi mereka, bergaul dengan mereka… akan menjadikan kita akan dikenali oleh mereka…

Bukankah itulah sosok keperibadian Nabi S.A.W yang sangat dikenali oleh penduduk Makkah? Dikenali sebagai sosok sosial yang digelar al-Amin? Dikenali sebagai lelaki yang suka menolong orang yang susah, membantu orang yang kekurangan dan ketiadaan… prihatin kepada nasib anak yatim dan fakir miskin. 

Malah disebut oleh Allah S.W.T dalam awal Surah Al-Jumuuah dengan رسولا منهم  dan di akhir surah at-Taubah dengan رسول من أنفسكم  :

(لَقَدۡ جَاۤءَكُمۡ رَسُولࣱ مِّنۡ أَنفُسِكُمۡ عَزِیزٌ عَلَیۡهِ مَا عَنِتُّمۡ حَرِیصٌ عَلَیۡكُم بِٱلۡمُؤۡمِنِینَ رَءُوفࣱ رَّحِیمࣱ)

[at-Taubah: 128]

Maknanya Baginda S.A.W bukanlah orang yang asing, tetapi sosok peribadi yang datang dari celah-celah masyarakat itu sendiri. Rajulun Ijtiamie, keperibadian sosial yang sangat dikenali.

Sebab itu, tidak salah menjadi terkenal. Malah ia menjadi keperluan untuk membawa mesej dakwah. Yang salah, ialah apabila hati kita sangat mencintai kemasyhuran. Dibimbangi terkenal demi dakwah itu bertukar kepada syok untuk diri sendiri. Di sinilah perlunya tarbiyah dan tazkiyah. Perlunya tasawuf dalam mendidik hati. Berbisik mencela hati dan bermonolog menghina diri, saat dikelilingi gemerincing kemasyhuran dan dihiasi pujian.  

Kerana, hanya kepada Allah dikembalikan segala-galanya… tanpaNya, kita tiada apa-apa dan bukan sesiapa… 

USTAZ HAZMI DIBOK – HARAKAHDAILY 20/10/2020

- Advertisement -