NGO Muar Prihatin gerak usaha kemasyarakatan

- Advertisement -

MUAR: Muar Prihatin sebuah NGO yang membawa moto “Ikhlas, Sedia, Membantu” telah memulakan aktiviti sulungnya dengan kerjasama komuniti Kampung Paya Lebar, dekat sini kelmarin.

- Advertisement -

Seawal pagi acara bermula dengan gotong-royong membersihkan masjid dan balai raya yang mendapat penglibatan menggalakkan terutama anak muda yang giat melakukan penebangan pokok dan program tukar minyak hitam percuma.

Menurut Pengerusi Muar Prihatin, Ustaz Mohd Ridzuan Nazri, tujuan program untuk menarik anak muda tercapai terutama melalui kaunter Daftar Pemilih di mana masih ada lagi anak-anak muda berusia lebih 21 tahun belum mendaftar sebagai pengundi.

“Melalui program Muar Prihatin ini diharap dapat melebarkan lagi jaringan khidmat menyantuni golongan orang susah tanpa mengira agama, bangsa dan perbezaan fahaman politik,” ujar beliau.

Rawatan kesihatan percuma juga turut diadakan menerusi program Ziarah Mahabbah dengan khidmat rawatan oleh doktor perubatan yang tidak asing lagi dengan penduduk setempat iaitu Dr Mohamad Taslim.

Turut sama mengiringi ialah Penaung Muar Prihatin, Abd Aziz Talib dan Ketua Kampung, Rauzan Ismail serta Ketua BERSATU Cawangan, Sabri Awang Hamat yang sempat melawati 11 keluarga.

Keakraban para peserta juga dapat dilihat pada program penutup yang diakhiri dengan pertandingan memancing dan acara BBQ. – HARAKAHDAILY 20/10/2020

- Advertisement -