Meninta mengajar Islam tanpa lelah, sanah helwah Ayah Chik

- Advertisement -

12 SEPTEMBER yang lalu Ayah Chik bertandang ke Kompleks Tahfiz An Nur Besut untuk merasmikan Dewan Tok Guru dan juga penyampaian sijil tamat hafazan kepada pelajar-pelajar Tahfiz An Nur Setiu dan juga An Nur Besut. Guratan wajah Ayah Chik kelihatan sedikit kepenatan, mungkin dengan jadual yang padat dan beliau akan meneruskan perjalanan ke Kota Bharu bagi menghadiri Mesyuarat khas PAS Pusat dan juga Muktamar tahunan PAS.

- Advertisement -

Ayah Chik menyulam hidupnya dengan cinta kepada ilmu dan memberikan hidupnya untuk menyampaikan ilmu, maka apabila diundang untuk ke kompleks pendidikan An Nur untuk kali kedua, beliau tak menolak. Sosok berjasa itu merasmikan tapak Dewan Tok Guru yang akan menjadi pelengkap kepada Kompleks An Nur, wajahnya ceria apabila memandang para santri yang berjubah dan berserban putih.

Ke mana sahaja diheret jasadnya, maka ilmu yang akan keluar daripada mulutnya. Masa lapangnya dipadatkan untuk menulis buku dan membaca. Hampir seratus buah buku yang telah ditulis termasuk dalam bahasa Arab, satu pencapaian besar sebagai ilmuan dan mufakkir Islam. Minggu ini dilancarkan buku maestro dakwah ini tentang “Fiqh Siasah Khulafa Ar Rasyidin : Saidina Abu Bakar”. Aku pernah menjadi saksi mata bagaimana tekunnya sang ulamak ini menulis dan melakar aksara walau dalam ruang masa terbatas. Dalam satu pemusafiran ke Afrika Utara bersama beliau lima tahun lepas, dimanfaatkan setiap masanya di dalam penerbangan untuk menulis.

Tidak pelik, akalnya tajam mengingat fakta dan analisa kerana beliau merencah kehidupannya dengan membaca dan menulis. Penulis ialah insan yang lumayan pahala kata Buya Hamka, saat sang penulis tidur sekalipun, pahala tetap mengalir. Bahan penulisan akan kekal dibaca dan menjadi rujukan daripada satu generasi ke satu generasi yang lain.

Pejam celik, masa bergulir pantas berlari meninggalkan kita, rupanya hari ini ialah ulang tahun kelahiran Tuan Guru Haji Abdul Hadi yang ke-73.

Seluruh hidupnya diwakafkan untuk perjuangan Islam dan dakwah, beliau figura antarabangsa yang dimiliki oleh negara kita walaupun diterjang tanpa henti oleh pembencinya sepanjang zaman. Dia tak lelah menyampaikan ilmu dan terus mencari ilmu, walau sesibuk mana sekalipun menggalang jawatan penting dalam parti dan kerajaan.

Saat belahan negara Arab sedang dibadai fenomena Arab Spring, pandangan beliau dipinta oleh tokoh-tokoh besar gerakan Islam di Timur Tengah. Bagaimana harus untuk gerakan Islam memanfaatkan ruang untuk berpencak di pentas demokrasi persaingan kuasa, mengurangkan intriq antara pesaing dan juga memicu perubahan dalam ruang demokratik yang dibenarkan. Ikhwanul Muslimin akhirnya menubuhkan sayap politiknya, FJP serta berjaya mengadakan permuafakatan politik dengan parti-parti yang lain. Nasihat Sheikh Abdul Hadi umpama ketulan-ketulan emas pengalaman yang sangat bernilai kerana PAS yang dipimpin oleh beliau telah memasuki dekad ke tujuh bertarung di medan persaingan kuasa.

Tokoh sesepuh perjuangan ini telah mengharungi samudera panjang perjuangan sehingga mendapat pengiktirafan dunia, beliau berkejar ke Kabul, Afghanistan pada tahun 1989 sebaik sahaja Rusia angkat kaki daripada bumi kontang bergunung-ganang Afghanistan.

Mujahidin yang pelbagai jalur itu disaran untuk menguruskan perbedaan dengan baik kerana Afghanistan memasuki fasa untuk dibina kembali negara bertunjangkan syariat Islam.

Beliau juga hadir ke Baghdad pada tahun 1990 untuk bertemu Saddam Hussein dan menyampaikan nuansa dan aspirasi gerakan Islam dunia tentang sikap dan peranan Iraq dalam konflik Timur Tengah yang mengheret Perang Teluk.

Sheikh Abdul Hadi juga menjadi mediator dalam menguruskan konflik di Acheh sehingga Gerakan Acheh Merdeka bersetuju untuk memilih jalan damai. Begitu juga konflik di Yaman dan beberapa negara umat Islam yang lain, jasa beliau terserlah sebagai tokoh pendamai dan juga menelurkan idea-idea yang baik untuk umat Islam. Ayah Chik semasa menjawat jawatan Naib Ketua Kesatuan Ulamak Dunia, diarahkan oleh Sheikh Dr Yusuf Qardawi untuk memberikan fokus kepada isu Muslim Rohingya yang ditindas oleh regim Myanmar. Beliau berjaya melobi kerajaan Malaysia untuk membantu Muslim Rohingya sehingga berlakunya Himpunan Solidariti untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa pada 4 Disember 2016.

Denai sejarah kehidupan Ayah Chik

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (dipanggil Sheikh Abdul Hadi di luar negara) dilahirkan pada 20 Oktober 1947 di Kampung Rusila, sebuah perkampungan nelayan yang terletak berhampiran Bandar Marang, Terengganu yang mana ayahnya Tuan Guru Haji Awang Abdul Rahman merupakan seorang ulamak tempatan dan aktivis politik yang dikenali ramai di Terengganu.

Beliau merupakan anak kelima daripada sembilan orang adik-beradik dan dibesarkan di dalam asuhan agama yang kuat daripada ayahnya sendiri. Ayah Chik mula memasuki alam persekolahan pada tahun 1955 di Sekolah Kebangsaan Rusila dan mendapat pendidikan menengah di Sekolah Agama Marang dan Sekolah Menengah Sultan Zainal Abidin (SMUZA). Di alam persekolahan, beliau telah menonjol dengan watak kepimpinan bahkan sering penjadi penterjemaah kepada tokoh luar negara berbangsa Arab yang datang ke SMUZA.

Bakat, potensi dan kecemerlangan akademiknya telah dikesan semenjak beliau di bangku persekolahan lagi di mana kemudiannya beliau ditawarkan dengan biasiswa Kerajaan Arab Saudi untuk menuntut di peringkat Ijazah Sarjana Muda di Unversiti Islam Madinah. Ayah Chik dibimbing oleh Sheikh Said Hawwa dan Prof Muhamad al Wakeel semasa belajar di bumi Rasulullah SAW.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi telah melanjutkan pelajarannya ke peringkat sarjana dalam bidang Siasah Syariah di Universiti Al Azhar, Mesir dan tamat pengajian pada tahun 1976. Beliau juga mengambil peluang bertalaqi dengan ramai ulamak Mesir semasa berada di sana di samping membina hubungan yang lebih rapat dengan pimpinan Ikhwanul Muslimin.

Ayah Chik kembali ke tanah air daripada pemukiman ilmu dan terus terlibat dengan aktif dalam bidang pembinaan kader-kader dakwah dan juga pengkuliahan. Beliau mula mengajar di masjid Rusila pada tahun 1976 dalam euforia kebangkitan Islam yang sedang menyelimuti negara ini. Anak-anak muda era itu masih kerancuan dengan budaya popular seperti rock dan blues, manakala era transisi itu juga menyaksikan keinginan untuk kembali kepada penghayatan Islam.

Ayah Chik menjadi Ketua Pemuda PAS Terengganu pada tahun 1976, Exco Pemuda PAS Pusat dan juga Pengerusi ABIM Terengganu, sebuah gerakan sosio politik anak muda yang ditubuhkan pada tahun 1971. Ayah Chik juga menabur ilmu di Institut Berakan, sebuah sekolah perkaderan dakwah di Pengadang Akar Kuala Terengganu. Semarak kebangkitan Islam semakin membuncah dipermulaan awal abad 15 Hijrah, Ayah Chik diangkat menjadi ikon kebangkitan semula Islam di kalangan anak-anak muda negara ini.

Di persada legislatif

Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, memenangi Parlimen Marang pada tahun 1990, seterusnya dilantik menjadi Menteri Besar Terengganu pada tahun 1999 apabila PAS berjaya menawan kembali Terengganu untuk kali kedua. Terengganu dengan sejarah pendidikan Islam yang gemilang dalam abad 19 dan awal abad 20, disambung kembali kecemerlangan itu oleh kerajaan PAS Terengganu yang dipimpin oleh beliau.

Ayah Chik telah empat dekad menjadi ADUN di Rhu Rendang, menyemai bakti pada masyarakat sehinggalah PRU ke-14, beliau telah melepaskan kerusi ini kepada Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (Setiausaha Politik beliau). Karektor Ayah Chik ialah sebagai pembina kader, menggilap permata dan pembina generasi yang ulung di negara ini, maka tak pelik sosok ini dicintai oleh anak-anak muda generasi haraki negara ini. Ribuan anak muda akan bersimpuh di hadapannya setiap kali Ijtimak Tarbawi diadakan.

Tuan Guru Haji Abdul Hadi juga telah dipilih menjadi ahli Majmak Taqrib Mazhab Islami yang berpusat di Tehran, Iran. Beliau menyertai rombongan parti-parti Islam ke Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dipimpin oleh Dr. Najmudin Erbakan, bekas Perdana Menteri Turki pada tahun 1990 untuk berbincang dengan Setiausaha Agung PBB Butros Butros Ghali dalam usaha menyelesaikan krisis Teluk.

Beliau juga pernah bersama pemimpin gerakan Islam yang lain dijemput oleh Saddam Hussein ke Baghdad semasa krisis Teluk berlaku. Saddam ingin memperoleh sokongan umat Islam dalam krisis Teluk yang dicampuri oleh Amerika.

Pada tahun 1994, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang telah dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Penyelaras Gerakan Islam yang berpusat di Istanbul, Turki.

Beliau juga sentiasa diundang untuk menghadiri Ijtimak Am yang dianjurkan oleh Parti Islam Pakistan (Jamiat Islami) dan juga gerakan Islam di Indonesia seperti Parti Keadilan Sejahtera, Partai Bulan Bintang, Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia dan sebagainya.

Beliau pernah menyampaikan ucapan-ucapan di Seminar Mukamar Antarabangsa Perpaduan Umat Islam Dalam Menghadapi Masalah Bosnia Herzegovina di Tehran pada tahun 1995.

Bosnia ialah negara di Balkan yang menyaksikan penyembelihan dan pembantaian umat Islam beramai-ramai oleh etnik Serbia, ratusan ribu telah menjadi korban keganasan militia Serbia. Perang ‘salib’ zaman moden ini mengundang rasa simpati yang besar kepada umat Islam Bosnia yang dalam rakaman sejarahnya pernah bernaung di bawah Khalifah Uthmaniyah Turki selama beberapa dekad.

Tuan Guru juga pernah mewakili PAS ke Muktamar Pertubuhan-Pertubuhan Islam Sedunia Ke-5 di Istanbul pada tahun 1996. Turki menjadi tuan rumah sidang tersebut dalam suasana kebangkitan Islam mula menyimbah negara yang pernah menjadi mata hati umat Islam itu sehinggalah tumbangnya khilafah pada tahun 1924.

Tuan Guru dari masa ke semasa diundang ke luar negara untuk menghadiri pelbagai persidangan, seminar, ijtimak gerakan Islam di luar negara.

Wajahnya juga pernah muncul di kaca TV seperti stesen TV al Manar, al Jazeera, dan sebagainya, mengupas pelbagai isu dan topik mengenai Islam dan dunia Islam. Semoga Allah memberkahi umurmu untuk terus memimpin kami menggapai redha Ilahi. Selamat menyambut ulang tahun harijadi Ayah Chik ke-73 tahun.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI) – HARAKAHDAILY 20/10/2020

- Advertisement -