MB akan teliti cadangan halang tanam ketum

POKOK SENA: Kerajaan negeri Kedah akan mengarahkan agensi berkaitan untuk mengemukakan pandangan atau kajian berhubung pindaan undang-undang penggunaan tanah bagi menghalang penanaman ketum di negeri itu.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata isu berkaitan penanaman ketum dan pindaan undang-undang berhubung penggunaan tanah berkenaan akan dibincangkan dalam mesyuarat exco, esok.

“Kami akan arahkan agensi-agensi kemukakan laporan tentang tindakan yang boleh diambil berdasarkan Kanun Tanah Negara, Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada 485 keluarga warden Penjara Pokok Sena yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pejabat Daerah Pokok Sena di sini, hari ini.

Semalam, Ketua Polis Kedah Datuk Hasanuddin Hassan mengesyorkan agar kerajaan negeri meminda undang-undang berkaitan penggunaan tanah khususnya yang dapat menghalang penanaman ketum secara berleluasa di negeri itu.
 
Menurut Hasanuddin, langkah tersebut bagi membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap individu yang menanam pokok ketum dan menyalahgunakannya.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata kerajaan negeri juga memberi tumpuan kepada usaha memerangi penyalahgunaan dadah sintetik dalam kalangan masyarakat yang dilihat serius kerana boleh menyebabkan masalah sosial dan peningkatan kadar jenayah.

“Saya sudah bincang dengan AADK (Agensi Antidadah Kebangsaan) yang patut diberi penekanan kepada memerangi dadah, bukan saja daripada segi penyalahgunaan dadah malah daripada pengedaran dan penyeludupan masuk.

“Ada beberapa titik panas di Kedah ini (termasuk) perairan Langkawi (sebagai) laluan kemasukan, kami akan minta agensi perketatkan kawalan…(penyalahgunaan) dadah sintetik lebih banyak digunakan macam satu industri, ketum hendak kena tengok (bagi perhatian), dadah pun kena tengok,” katanya. – BERNAMA