Kesan tindakan politik Anwar pada lawannya

PAS secara bersendirian tidak terkesan dengan retorik yang dibawa Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk mengambil alih tampuk pemerintahan negara. Dalam hal ini Yang di-Pertuan Agong juga mempunyai budi bicara baginda yang perlu diambil kira dan proses ini akan mengambil masa.

Semua ini boleh kita sifatkan sebagai satu konflik politik kamikaze atau politik persepsi imej negatif yang dicetuskan oleh Anwar yang mendakwa kononnya mendapat majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu. 

Advertisement

Kita masih mengambil pendekatan tunggu dan lihat akan gimik politik murahan Anwar ini. Tapi apa yang jelas segala yang dilakukan Anwar ini sebenarnya bertujuan mengalihkan fokus media untuk memberi tumpuan pada diri beliau dan PKR supaya tidak tenggelam dalam arus politik di Malaysia.

Kita juga tidak menafikan bahawa gerakan yang dibuat oleh Anwar ini telah memberi kesan kepada hubungan antara BN, PN dan PAS. Perkembangan ini agak membimbangkan, dengan yang paling ketara berlaku serang-menyerang antara pemimpin Umno dan BERSATU yang dilihat boleh memberi kesan buruk kepada imej parti kerajaan yang sedang memerintah.

Dalam berhadapan dengan situasi ini PAS memainkan peranan untuk mengajak semua parti-parti Melayu untuk bersatu dan berdamai serta menstabilkan keadaan bagi menghadapi krisis lebih besar iaitu COVID-19.

PAS juga telah menyatakan pendirian tegas untuk tidak terbabit dengan konfrontasi antara Umno – BERSATU dan akan lebih memainkan peranan sebagai ejen pendamai. Jika perlu, mungkin juga wajar untuk mana-mana pihak memainkan peranan penting menjadi orang tengah atau pendamai antara semua parti berteraskan Melayu Islam.

Saya juga berpendapat perlu ada perbincangan lebih awal di antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) bagi mengelakkan timbul kemelut dan konflik dalaman parti.

Dalam masa terdekat Tuan Guru Presiden PAS akan adakan pertemuan dengan Presiden Umno dan Presiden BERSATU untuk mencari jalan pendamaian.

Justeru, semua parti Melayu wajar berjiwa besar demi menyatukan ummah agar negara tidak terlepas sekali lagi ke tangan ‘musuh-musuh Islam’ yang sentiasa mencari jalan menjarah aset dan harta umat Islam serta menggadai keharmonian kaum yang telah dipupuk sejak sekian lama. 

Pada dasarnya PAS dan Umno bersetuju dan mengharapkan supaya BERSATU menyertai Muafakat Nasional tetapi MoU secara rasmi tertangguh disebabkan COVID-19.

Muafakat Nasional adalah kerjasama politik, bukan entiti rasmi. Ia bertujuan antara lain menyelaras supaya tiada pertandingan antara BN, BERSATU dan PAS di semua kerusi yang akan dipertandingkan dalam PRU15 akan datang mengelakkan pertandingan tiga penjuru.

MN ini juga menjadi pentas Umno, BERSATU dan PAS memperjuangkan isu-isu yang membabitkan kepentingan masyarakat Bumiputera dan agama Islam.

Ia bukan bermaksud Umno mesti mengikut ideologi PAS atau PAS mesti menurut fahaman Umno. Ada perkara kita boleh bersetuju, ada perkara kita boleh berbeza pendapat.

Selain itu, PAS, BERSATU dan Umno akan terus berunding penentuan kerusi PRU. Ia bergantung kepada pucuk pimpinan semua parti untuk berunding dan mendapat permuafakatan.

Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati; sesungguhnya Allah beserta orang yang sabar.”

(al-Anfal: 46)

Bagi saya Umno dan BERSATU perlu mencari formula terbaik untuk pendamaian dan meletakkan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan peribadi, kelompok serta kepartian. Berjiwa besar sangat diperlukan bagi memastikan nasib dan masa depan rakyat tidak diketepikan.

DATUK USTAZ KAMARUDIN HAJI SIDEK 
Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka
3 Rabiul Awal 1442H / 20 Oktober 2020 – HARAKAHDAILY 20/10/2020