KASA ambil pendekatan rundingan – Dr Zuhdi

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengambil pendekatan untuk berunding dan bekerjasama dengan semua pihak berhubung isu air yang kerap berlaku di Selangor.

Setiausaha Politik Menteri Alam Sekitar, Dr Mohd Zuhdi Marsuki berkata, kerajaan tidak menuding jari kepada mana-mana pihak kerana ia tidak menguntungkan dan tidak menyelesaikan masalah.

Advertisement

“Kita ambil pendekatan untuk berbincang dengan semua pihak terlibat iaitu Kerajaan Persekutuan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Serta Kerajaan Negeri Selangor seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

“Kami akan mencari satu formula bersama bagi memastikan masalah air ini tidak berulang untuk jangka masa singkat dan panjang,” ujarnya kepada Harakahdaily, hari ini.

Mohd Zuhdi dihubungi Harakahdaily bagi mengulas kejadian pencemaran sumber air mentah di Sungai Selangor yang berlaku seawal pagi semalam.

Insiden sama yang berulang itu menyebabkan sekitar sejuta pengguna akaun Air Selangor terjejas.

Jelas Mohd Zuhdi, langkah-langkah pencegahan perlu diambil ke atas setiap kilang dan industri yang berpotensi mencemarkan sumber air mentah ini.

Tambahnya, dengan peranan yang dimainkan oleh PBT dalam mengawal selia dengan ketat semua kriteria yang ditetapkan mestilah dipatuhi oleh semua premis perniagaan.

“Sekiranya pengusaha kilang gagal memenuhinya, maka PBT berhak untuk menutupnya ataupun memindahkannya ke tempat yang tidak memberi risiko terhadap sumber air mentah,” katanya.

Mohd Zuhdi berkata, KASA akan memaksimakan penggunaan teknologi terkini seperti dron dan alat pengesan bagi memantau dan menilai kualiti air agar tidak tercemar dalam jangka masa yang panjang.

Selain itu katanya, Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) merupakan pelan kontigensi yang akan dimanfaatkan sepenuhnya sekiranya berlaku sebarang penutupan di Loji Rawatan Air (LRA).

Ujarnya, alternatif kerajaan bagi jangka masa panjang melibatkan penyelarasan bidang kuasa dan semakan semula undang-undang dan polisi berkaitan industri di kawasan berisiko.

“Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, enakmen-enakmen kerajaan negeri akan diteliti semula dari segi polisi perundangan sedia ada bagi memastikan insiden ini tidak berulang.

“KASA dan agensi di bawah Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju untuk mewujudkan satu jawatankuasa khas bagi melihat isu-isu pencemaran alam sekitar dan sungai khusus untuk negeri berkenaan.

“Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh (SPAN) dan melibatkan semua agensi di bawah Kerajaan Persekutuan dan Negeri Selangor agar dapat mencari dan menyelesaikan isu ini dalam jangka masa yang singkat dan panjang,” kata Mohd Zuhdi. – HARAKAHDAILY 20/10/2020