Edar sumbangan kepada golongan terjejas Pulau Ketam

KUALA LUMPUR: Golongan memerlukan di Pulau Ketam yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibantu beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama Maahad Tahfiz Mandarin (MTM).

Pengetua MTM, Ustaz Mohammad Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Mad Cina berkata pihaknya mengagihkan barangan keperluan asas dan wang ringgit yang disumbangkan orang ramai melalui NGO yang terlibat.

Advertisement

Antaranya, Geng Ustaz, Pertubuhan Pendakwah Selangor, Rahmat Care dengan kerjasama AJK Komuniti Muslim Pulau Ketam.

Katanya, sumbangan tersebut turut disalurkan kepada Dapur Maahad Tahfiz Mandarin yang terletak di Pulau Ketam.

Ustaz Mad Cina berkata pihaknya turut bercadang untuk mengedarkan sumbangan tersebut kepada saudara baharu dan penduduk dalam kalangan Orang Asli Laut Kampung Sungai Dua, Pulau Ketam selepas ini.

Terdahulu kerajaan mengenakan semula PKPB di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai 14 Oktober hingga 27 Oktober depan berikutan peningkatan kes Covid-19.

Dalam pada itu, Ustaz Mad Cina turut menyatakan penghargaan buat penyumbang dan mendoakan kesejahteraan mereka yang bermurah hati supaya tabah menghadapi liku-liku kehidupan.

Sebarang sumbangan atau maklumat lanjut boleh terus menghubungi Ustaz Mad Cina di talian 011-5311 9717. – HARAKAHDAILY 20/10/2020