Bekas lagenda bola sepak pilih SRITI

- Advertisement -

TAMBUN: Keyakinan terhadap sistem pendidikan agama dan akademik bersepadu menjadikan lagenda bola sepak Malaysia dan Perak, Ahmad Shahrul Azhar memilih untuk mendaftarkan anak di SRITI Al-Istiqamah, Meru Raya, di sini.

- Advertisement -

Beliau menzahirkan harapannya agar SRITI mampu melahirkan lebih ramai golongan profesional beragama bagi memastikan masa depan Islam yang terjamin ke arah menjadikan negara sejahtera.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Strategik (STRATCOM) Negeri Perak, Ustaz Hafez Sabri turut mengakui bahawa sambutan yang sangat positif dalam kalangan ibu bapa menjadikan SRITI terus berkembang pesat dan bertambah di seluruh negara.

“Pendidikan berteraskan Islam menjadi keutamaan kepada SRITI dalam melahirkan generasi pintar soleh, rabbani dan murabbi yang akan mewarnai kepimpinan negara suatu hari nanti.

“SRITI menawarkan pengajian akademik arus perdana berasaskan KSSR diintegrasikan dengan diniyyah (adanya KAFA dan KAFFAH) dan modul Tahfiz Quran Sunnah (TQS).

“Al-Quran yang menjadi asas pengajian di SRITI. Paling menarik, murid-murid berpeluang belajar subjek Matematik, Sains dan Pendidikan Seni dikaitkan dengan Al-Quran,” ujar Ustaz Hafez.

Beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Kawasan Tambun berkata demikian ketika merasmikan Hari Pendaftaran SRITI Al-Istiqamah, Meru Raya kemasukan tahun 2021 di sini kelmarin.

Katanya lagi, SRITI Al-Istiqamah juga amat bertuah kerana kepelbagaian latar belakang kerjaya ibu bapa murid termasuklah ahli perniagaan, penjawat awam, para pendidik dan agensi penguatkuasaan.

Seramai 44 orang murid baharu kemasukan tahun 2021 terlebih dahulu dikehendaki menduduki ujian tahap penguasaan bagi memudahkan guru-guru merancang pengajaran dan pembelajaran tahun hadapan.

Turut hadir menjayakan sesi pendaftaran, Pengerusi Lembaga Pengarah, Ustaz Fariq Izwan Md Bahrin, Guru Besar, Ustazah Nurul Nabila Jumbuny bersama seluruh ahli lembaga pengarah dan warga kerja SRITI Al-Istiqamah. – HARAKAHDAILY 20/10/2020

- Advertisement -