Apa motif demonstrasi Thailand disensasikan?

- Advertisement -

KENAPA ultra kiasu sensasikan berita demonstrasi monarki Thailand dan insiden remaja Islam Perancis penggal guru? Seolah-olah tidak berita lain, tidak ada kerja lain, saban hari laman sosial ultra kiasu mensensasikan demonstrasi anti Raja di Thailand dan insiden remaja Islam Perancis penggal leher gurunya. 

Tujuan tidak lain, agar rakyat membenci institusi Raja Melayu dan membenci PAS (jika memerintah). Di Thailand, ultra kiasu mensensasikan gerakan aktivis pro-demokrasi berdemonstrasi di ibu kota Bangkok. Massa tidak mengendahkan larangan pihak berkuasa yang cuba menghentikan demo ini.

Demo ini merupakan sebahagian daripada gerakan anti-monarki yang telah berlangsung berbulan-bulan, seolah ada gerakan di sebalik tabir. Selain daripada tuntutan reformasi monarki, para pendemo ini juga meminta PM Thailand supaya undur dan mahukan pemilihan baharu. Tanpa menafikan institusi monarki ada juga kelemahan. 

- Advertisement -

Berita yang sengaja disensasikan seorang lelaki berusia 18 tahun yang lahir di Moscow dan berasal dari Chechnya di Selatan Rusia, disyaki memenggal kepala seorang guru Perancis menunjukkan kartun Nabi Muhammad kepada pelajarnya. 

Perancis dikatakan berdepan satu siri gelombang keganasan Islam sejak serangan keganasan pada 2015 ke atas majalah satira Charlie Hebdo dan sebuah pasar raya Yahudi di Paris.

Mangsa ialah guru sejarah yang baru-baru ini menunjukkan kartun Nabi Muhammad sebagai sebahagian daripada perbincangan dalam kelas mengenai kebebasan bersuara.

Hairannya kenapa ultra kiasu senyap apabila pembunuhan kejam Mac tahun lalu yang dilakukan oleh Tarrant, lelaki yang membunuh 51 orang dalam serangan ke atas dua masjid di New Zealand, mempunyai rancangan untuk menyerang sebuah lagi masjid.

Serangan yang dirakam secara ‘live’ oleh Tarrant dalam media sosial itu menyaksikan dia melepaskan tembakan rambang di dua masjid di bandar Christchurch pada 15 Mac tahun lalu.

Kenapa tidak sebar luaskan perbicaraan hukuman yang baharu sahaja bermula, dimaklumkan bahawa Brenton Tarrant turut merancang untuk membakar kesemua masjid yang disasarkan dengan harapan membunuh seramai mungkin.

Warganegara Australia itu mengaku salah terhadap 51 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cubaan membunuh dan satu pertuduhan pengganasan. Serangan bermula di Masjid Al Noor dengan tembakan secara rambang menggunakan senapang automatik ke arah jamaah untuk menunaikan solat Jumaat.

Tragedi tersebut menggemparkan dunia dan memaksa kerajaan New Zealand meminda segera undang-undang pemilikan senjata api di negara itu.

Dua sasaran utama iaitu institusi Raja (monarki) dan PAS. Supaya rakyat Malaysia turut terpengaruh agar benci kepada Raja atau sistem monarki dan menolak PAS yang dipersepsikan sebagai sebuah parti politik ekstrem Taliban.

Kebijaksanaan PAS menguruskan perbezaan pendapat dan perjuangan parti-parti politik Melayu Islam mendapat perhatian rakyat. Ultra kiasu tidak puas hati dengan sifat profesional YDPA dalam menyelesaikan kemelut perebutan kuasa antara PN dan ultra kiasuUltra kiasu ini ibarat cacing kepanasan setelah hilang kuasa. Ultra kiasu sengaja melakukan provoksi agar kita terpengaruh. 

Pada masa sama, kita mengharapkan semua pembesar dan ahli politik supaya mencari dan merangka jalan terbaik untuk menyelesaikan permasalahan rakyat akibat pandemik COVID-19.

Bantulah rakyat yang dalam kesusahan. Korbankanlah harta yang telah dikumpulkan selama ini untuk rakyat. Insya-Allah, rakyat akan yakin dengan kepemimpinan yang cakna kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Seperti yang saya sebut hari ini, contohilah dan ambil iktibar cara Kerajaan New Zealand menjaga kebajikan rakyat. Kebijaksanaan Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern, dalam berpolitik. Mengutamakan rakyat dalam segala hal. Akhirnya, berjaya menjadi Perdana Menteri sekali lagi dalam PRU New Zealand baru-baru ini. 

Populariti Adern melonjak tinggi kerana rekod cemerlangnya menguruskan negara sepanjang pandemik COVID-19 dan serangan masjid di Christchurch tahun lalu. Parti Buruh yang diketuainya berada di landasan yang betul untuk menang, tanpa rakan gabungan parti kecil seperti Greens dan New Zealand First (NZF), yang diperlukannya pada penggal pertama (2017).

Hingga hari ini, sempadan New Zealand tetap ditutup kepada orang luar. Begitu tegas. Inilah faktor kejayaan Ardern. Ardern tidak hiraukan kecaman. Sekat kemasukan imigran. Lebih-lebih lagi parti buruh bekerjasama dengan Parti New Zealand First (NZF) yang terkenal dengan anti imigran. 

NZF ditubuhkan oleh ahli parti National yang keluar parti, kerana tidak tegas dalam soal imigran. Dalam PRU NZ 2017, Parti buruh mendapat 46 kerusi, parti National mendapat 56. 

Namun, parti buruh berjaya membentuk kerajaan dengan bergabung dengan NZF (9) dan Greens (8). Ketua NZF, Winston Peters dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri. Ketika itu, Ardern mengikut rentak NZF dalam dasar imigran dan kawalan sempadan kerana bimbang Peters menarik sokongan. Rupa-rupanya di New Zealand pun ada budaya lompat melompat. 

Pendek kata, ketegasan Ardern dalam soal kawalan sempadan inilah menjadi beliau meraih kejayaan dalam PRU yang baru sahaja berlangsung. Majoriti yang diraih begitu selesa, tanpa perlu lagi bergabung dengan parti lain seperti sebelumnya sehingga terpaksa berkompromi, menyerahkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada Peters (NFZ). Malangnya, dalam PRU baru-baru, Parti NZF hilang semua kerusi yang ditandingi sebelum ini. 

Pemimpin parti NZF silap dalam percaturan. Jika tidak kemarukkan jawatan Timbalan Perdana Menteri, sudah tentu parti ini akan menjadi blok ketiga yang kuat, berada di luar kerajaan, terus bekerja untuk rakyat. Apa nak buat, nasi dah menjadi bubur. 

Perkara pokok yang perlu difikirkan kita semua, semua pembesar, kerajaan yang diketuai oleh Perdana Menteri dan semua ahli politik, serta jutawan-jutawan yang telah dikayakan, berhentikan berpolitik buat seketika untuk sekian kalinya. 

Korbankanlah sebahagian harta yang saudara semua ada untuk membantu rakyat.  Jika tidak, pasti rakyat akan bangkit seperti mana yang berlaku di Thailand

Fokuslah kepada permasalahan rakyat dan ekonomi negara, seperti yang telah dan sedang dilakukan oleh Ardern. Akhirnya, beliau mencapai kemenangan besar. 

Apakah PN dan MN tidak mahu semua perkara itu? Inilah masanya untuk membuktikan semua itu, tatkala rakyat sudah bosan dengan politik ultra kiasu.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH – HARAKAHDAILY 20/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -