Walau memilih jalan keamanan, PAS dicerca juga

- Advertisement -

TERASA juga di hati apabila membaca segala tohmahan dan cercaan masyarakat maya terhadap PAS yang sering dilihat mempertahankan Perikatan Nasional (PN) berbanding Muafakat Nasional (MN), walhal acapkali pemimpin tertinggi PAS menegaskan bahawa PAS tetap mempertahankan PN dan MN walau apa jua kondisi sekali pun kerana inilah jalan demokrasi yang diamalkan di Malaysia. Makan dua kolam, dua pinggan atau apa saja kata sinis terhadap tindakan PAS sebenarnya tidak menggoyahkan kesetiaan ahli dan pimpinan PAS terhadap dasar Islam yang dipegang selama ini bahkan terang lagi bersuluh termaktub di dalam Perlembagaan PAS. Tidak berubah.

Kenapa jadi keadaan sedemikian rupa? Kerana inilah jalan siyasi yang dipilih. Demokrasi adalah sebagai model politik yang hampir tepat untuk mengelola semua nadi kehidupan kenegaraan. Memang diakui tidak semua prinsip demokrasi bukan model yang paling sempurna untuk mengatur peri kehidupan manusia. Namun sejarah menunjukkan bahawa demokrasi memiliki satu sistem yang positif dalam menistakan tindakan tidak berperikemanusiaan.

- Advertisement -

Robert A. Dhal (1998), menyatakan beberapa kelebihan positif prinsip demokrasi berbanding dengan model rejim politik yang lain khasnya yang bersifat autokratik:

(1) Demokrasi mampu mencegah pemerintahan oleh kaum autokrat yang kejam dan licik untuk memperdayakan rakyat.

(2) Demokrasi menjamin setiap warga negara hak asasi yang tidak diberikan dan tidak dapat diberikan oleh mana-mana sistem politik yang tidak bersifat demokratik seperti kebebasan bersuara, kebebasan memilih pemimpin, kebebasan berkarya, kebebasan untuk memiliki harta dan kebebasan untuk mendapatkan pendidikan, akses kesihatan, sosial dan sebagainya.

(3) Demokrasi menjamin kebebasan peribadi yang lebih luas khasnya dalam beragama berbanding daripada alternatif kebebasan yang lain.

(4) Demokrasi membantu setiap warga negara untuk melindungi kepentingan asasi mereka, harta, nyawa dan maruah.

(5) Pemerintahan yang demokratik dapat memberikan kesempatan seluas dan peluang setiap warga negara untuk mengimplementasikan kebebasan dalam menentukan nasibnya sendiri; Politik, kerajaan, perundangan dan keadilan.

(6) Demokrasi adalah wasilah untuk memberikan hak warganegara memilih tanggungjawab moral sendiri tanpa tekanan daripada pemerintah atau anasir luar. Dalam erti kata lain, demokrasi membenarkan setiap warga untuk memilih mempertahankan negara dengan apa jua cara sekalipun kerana inilah tanggungjawab moral yang perlu dicurahkan ketika negara dilanda ancaman.

(7) Demokrasi dapat membantu perkembangan hidup warga negara lebih kejap dan tuntas berbanding daripada alternatif model politik lain. 

(8) Pemerintahan yang demokratik dapat membantu perkembangan dan kestabilan politik yang relatifnya adalah tinggi dan kompetitif.

(9) Negara-negara demokrasi tidak pernah berperang satu sama lain. 

(10) Negara yang mengadaptasikan pemerintahan yang demokratik lebih cenderung aman, makmur daripada negara-negara dengan pemerintahan tidak mengamalkan demokrasi. 

Islam dan Demokrasi adalah intimidasi politik untuk mencapai keamanan dan kesejahteraan warga dan negara. Lantaran, inilah prinsip Muwajahah Silmiyyah dalam mengakomodasikan Politik Matang dan Sejahtera berlandaskan model demokrasi selagi tidak bercanggah dengan hak dan asas-asas Siyasah Syar’iyah dalam Islam.

Kesimpulannya, walaupun demokrasi tidak 100 peratus sempurna namun inilah wasilah yang paling aman untuk memastikan Islam dan warganegara dapat dijulang ketika mana dunia diasak dengan kepelbagaian model dan ideologi politik yang menyekat hak dan prinsip kemanusiaan sejagat, sesuai dengan firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 158;

فَبِمَا رَحْمَةٍۢ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمْ ۖ وَلَوْ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلْقَلْبِ لَٱنفَضُّوا۟ مِنْ حَوْلِكَ ۖ فَٱعْفُ عَنْهُمْ وَٱسْتَغْفِرْ لَهُمْ وَشَاوِرْهُمْ فِى ٱلْأَمْرِ ۖ فَإِذَا عَزَمْتَ فَتَوَكَّلْ عَلَى ٱللَّهِ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلْمُتَوَكِّلِينَ

“Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (Sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

NOR AZIZUDDIN ABDUL MANAN
Penyelidik PhD (Sains Politik)

Rujukan;
Robert A. Dhal (1998), On democracy, Yale: Yale University Press. – HARAKAHDAILY 19/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -