Tahap pahala dan dosa pada maslahah dan mafsadah

PAHALA dan hukuman (dosa) berbeza tahapnya (pada kebiasaannya) dengan berbeza tahap maslahah dan mafsadah bukan (melihat) kepada perbuatan-perbuatan yang mengandunginya (maslahah dan mafsadah itu). Sesiapa yang menghidupkan seribu nyawa orang beriman dengan satu perbuatan sahaja atau satu kata-kata sahaja, atau menyuruh seribu kebaikan dengan satu kata-kata sahaja, atau seseorang itu menggali satu sungai lalu menenggelamkan seribu orang kafir (harbi), diberi seribu pahala yang digandakan di atas setiap satu dari maslahah(yang dilakukan ini).

Jika dia membinasakan seribu nyawa orang beriman dengan satu perbuatan sahaja, atau menyuruh seribu kemungkaran dengan satu kata-kata sahaja, atau membakar beberapa harta atau beberapa orang dengan satu perbuatan sahaja, dia akan mendapat seribu dosa di atas setiap satu daripada kata-kata ini dan di atas setiap satu perbuatan daripada perbuatan-perbuatan ini.

Advertisement

Sesiapa yang berzina dengan ibunya di dalam Ka’bah di bulan Ramadan dalam keadaan dia berpuasa, beriktikaf, dalam keadaan berihram, maka dia mendapat enam dosa, dan dia wajib: membebaskan hamba (kerana bersetubuh di siang Ramadan), wajib bayar seekor unta atau lembu (kerana merosakkan ibadat umrah), dihukum hudud zina, dihukum takzir kerana memutuskan silaturahim, dan kerana menceroboh kehormatan Ka’bah.

Kitab Qawaid Sughra oleh Sultanul Ulamak Syeikh Izzuddin bin Abd Salam

MOHD MAHYUDDIN MOHD YUSOFF – HARAKAHDAILY 19/10/2020