Polis akan gempur pusat fahaman Hizbut Tahrir

JOHOR BAHRU: Polis Johor akan menggempur pusat-pusat kumpulan fahaman Hizbut Tahrir Malaysia (HTM) di negeri ini, dalam masa terdekat.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, justeru itu pihaknya akan berkolaborasi secara rapat dengan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bagi tujuan itu.

Advertisement

Katanya, pihaknya juga telah mengenal pasti 45 daripada 80 individu pengikut fahaman itu di negeri ini, serta pemimpinnya iaitu Ketua HTM Negeri Johor Sallahuddin Mashkuri.

“Saya akan bekerjasama dengan JAINJ dalam sedikit waktu lagi. Walaupun sekarang ini bukan di bawah kuasa polis untuk ambil tindakan, tetapi saya akan pastikan JAINJ ambil tindakan tegas dan tidak ada lagi amaran.

“Kita akan gempur pusat-pusat Hizbut Tahrir ini di Skudai. Saya akan bantu JAINJ untuk gempur, tunggu dan lihat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini, semalam.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan yang dimuat naik di laman web rasmi HTM semalam, yang mendakwa Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Tosrin Jarvanthi dan Ketua Polis Johor telah memfitnah HTM, sebagai bercanggah dengan agama Islam.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata tidak timbul isu fitnah, memandangkan beliau memberi kenyataan berdasarkan fatwa agama Islam negeri Johor, yang dikeluarkan atas perkenan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

Malah, menurut beliau fahaman HTM mempunyai ciri-ciri ajaran sesat seperti Daesh, selain pernah mengeluarkan risalah-risalah antaranya berhubung melabelkan negara Islam moden sebagai kufur, serta akan memerangi sistem demokrasi.

“Fahaman ini ada ciri-ciri ajaran sesat antaranya seperti Daesh, cuma mereka ini belum angkat senjata lagi, jadi kita jangan biarkan mereka berkembang,” katanya.

Selain negeri Johor, fatwa negeri lain seperti Selangor, Pahang, Sabah, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur turut jelas menyatakan mengenai penyelewengan Hizbut Tahrir, malah negara lain antaranya Rusia, Tunisia, Bangladesh, Jordan dan Syria, turut mengenal pasti fahaman itu sebagai menyesatkan dan boleh mengancam keselamatan negara.

Pada 1 Oktober lepas, Ayob Khan dilaporkan berkata, pihaknya  sedang memantau pergerakan pengikut HTM yang boleh ditahan menurut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), jika mereka didapati mengganggu-gugat keamanan dan keharmonian masyarakat di negeri ini.

Pada ketika itu, meskipun tiada tangkapan dibuat, pihaknya telah menerima 17 laporan polis berhubung gerakan itu, dan telah membuka kertas siasatan. – BERNAMA