PERHILITAN pindah gajah ke Taman Negara Gerik

- Advertisement -

KUALA KRAI: Seekor gajah jantan seberat 2.5 tan dipindahkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (PERHILITAN) dari Kampung Tok Uban Sungai Rek ke Taman Negara Gerik hari semalam.

Operasi pemindahan bermula jam 8.30 pagi hingga 1.30 tengah hari menggunakan dua ekor gajah denak iaitu Rambai dan Abot.

- Advertisement -

Ketua Pusat Operasi Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Mohd Khairul Adha Mat Amin berkata, operasi dilakukan 25 anggota dari PERHILITAN Kelantan dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Pahang.

Katanya, pemindahan gajah yang berumur 30 tahun itu turut mendapat kerjasama dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) serta penduduk setempat.

“Gajah liar jantan ini dipindahkan ke Kompleks Taman Negara menggunakan treler dari PKGK.

“Kami menangkap gajah jantan liar di kawasan Kampung Tok Uban Sungai Rek, selepas menerima aduan dari penduduk kampung.

“Beberapa anggota PERHILITAN dikerah ke kawasan itu untuk membuat pemantauan dan operasi menangkap gajah terbabit,” katanya kepada pemberita di lokasi operasi menangkap gajah liar di sini.

Mohd Khairul Adha berkata, gajah jantan yang berjaya ditangkap itu adalah dari kumpulan gajah hutan Sungai Rek, yang dianggarkan masih ada beberapa ekor lagi di kawasan berkenaan. – HARAKAHDAILY 19/10/2020

- Advertisement -