PAS Sarawak alu-alukan pembangunan Belaga

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rancangan Kerajaan Negeri Sarawak untuk membangunkan Belaga dilihat akan memacu perkembangan ekonomi kawasan luar bandar itu dan kepentingan penduduknya.

- Advertisement -

Timbalan Pesuruhjaya PAS Sarawak, Muhtar Suhaili berkata, pelan kerajaan negeri itu bakal mendekatkan jurang antara kawasan desa itu dengan bandar, sekali gus membawa kemakmuran bersama.

Menurut beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, pembangunan Belaga iaitu kawasan majoriti penduduk Bumiputera Sarawak itu juga selari agenda memperkasakan Bumiputera.

“PAS Sarawak sememangnya amat menyokong usaha pembangunan luar bandar seperti ini,” ujar beliau terhadap pelan induk diumumkan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kelmarin.

Belaga yang terletak di kawasan hulu Batang Rajang akan dibangunkan kawasan perumahan dan komersial baharu serta pembangunan seberang Belaga di mana akan bersambung dengan empangan elektrik hidro Bakun.

Lapor Bernama, turut akan dibina adalah rangkaian jalan raya menghubungkan Belaga dengan Kapit dan Bintulu, selain menara telekomunikasi bagi menyediakan akses kepada teknologi maklumat yang lebih baik.

Maklum Abang Johari, sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi mewujudkan landskap baharu di bandar itu secara keseluruhan iaitu menerusi pembinaan Belaga Town Square.

Menurutnya, beliau tidak mahu lagi Belaga terpisah daripada pembangunan di mana pembinaan menara telekomunikasi di situ antara langkah awal ke arah tujuan tersebut.

“Keadaan Sarawak yang stabil dari segi politik dan ekonomi membolehkan negeri ini menjana pendapatan sendiri untuk digunakan bagi melaksanakan pembangunan berterusan,” ujarnya pada majlis perasmian Tebingan Belaga di pekan Belaga itu.

Menurut beliau, ke arah mencapai status negeri termaju di Malaysia menjelang 2030, Kerajaan Sarawak sentiasa berusaha mempelbagai dan menambahkan lagi sumber pendapatan. – HARAKAHDAILY 19/10/2020

- Advertisement -