PAS Pekan dekatkan Orang Asli kepada Islam

- Advertisement -

PEKAN: Lajnah Perpaduan Nasional PAS Kawasan Pekan telah mengadakan majlis ilmu di Balai Raya Kampung Batu Gong dan kuliah Maghrib di Balai Raya Kampung Dusun, Chini, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Kampung Dusun dan kampung di sekitarnya iaitu Kampung Batu Gong dan Kampung Patah Jelutong yang terletak kira-kira 16 kilometer dari Pusat Bandar Chini, merupakan penempatan Orang Asli terdiri dari suku kaum Jakun.

Terdapat 13 keluarga di Kampung Dusun dan 17 keluarga di Kampung Batu Gong telah memeluk Islam, manakala penduduk di Kampung Patah Jelutong masih belum ada yang memeluk Islam.

PAS Pekan melihat bahawa masyarakat Asli yang beragama Islam wajib diberikan perhatian dan pada masa sama terus berusaha mendekati golongan belum Islam.

Sehubungan dengan itu, tidak terikat dengan ziarah sahaja, PAS Pekan telah mengambil inisiatif membesarkan bangsal yang menjadi tempat belajar ilmu fardu ain untuk keselesaan mereka.

Program ilmu pula adalah secara berkala dan akan disampaikan oleh Timbalan Yang Dipertua PAS Pekan, Ustaz Mohd Fadhil Noor Abdul Karim Al-Yamani yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional.

Sementara itu, menurut Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Muslimat PAS Pekan, Kamariah Ishak, golongan muallaf ini masih baru mengenali Islam yang mana amat memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar dalam ibadah seperti cara berwuduk dan solat dengan betul.

Dengan ini katanya, Muslimat PAS DUN Chini sedang berusaha memberi kefahaman dan membantu golongan ini bagi memastikan mereka memahami agama dengan betul dan dapat melaksanakannya dengan baik. – HARAKAHDAILY 19/10/2020

- Advertisement -