PAS Kelantan laksana 80 peratus manifesto

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebanyak 80 peratus janji yang terkandung manifesto Pilihan Raya Umum (PRU) 14 PAS di Kelantan sudah dilaksanakan.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, pada kempen pilihan raya yang diadakan pada 2018 PAS Kelantan mengariskan 14 tawaran kepada rakyat untuk dilaksanakan.

- Advertisement -

“Alhamdulillah manifesto PAS PRU-14 sehingga ke hari ini berjaya ditunaikan hampir 80 peratus dan kita komited untuk memastikan janji-janji ini dapat dilaksanakan sepenuhnya.

“Ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak,” katanya pada majlis penyampaian amanat khas Menteri Besar kepada pegawai dan kakitangan urusetia kerajaan negeri di sini kelmarin.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah dan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan Dato’ Abdullah Yaakob.

Program itu diadakan sempena sambutan tiga dekad pentadbiran kerajaan PAS di Kelantan yang disambut pada 21 Oktober ini.

Ahmad yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS berkata, pasca PRU 14 turut menyaksikan latar politik tanah air berubah apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) tewas kepada Pakatan Harapan (PH).

Bagaimanapun kata beliau sekali lagi tonggak kerajaan persekutuan berubah apabila PH mengalami krisis dalaman sehingga pakatan itu tumbang pada Mac lepas. – HARAKAHDAILY 19/10/2020

- Advertisement -