Model pemuliharaan dan kelestarian alam sekitar

Cameron Highlands perlu kekal dipulihara kelestarian khazanah alam semuajadi

- Advertisement -

KUANTAN: Kelestarian khazanah alam semulajadi Cameron Highlands yang hijau lagi mendamaikan mesti terus dipertahankan serta dipulihara menjadi sebahagian dari keperluan dan kestabilan kehidupan.

- Advertisement -

Ketua Penerangan Muslimat PAS Negeri Pahang, Yusma Yusuf berkata, penerokaan yang semata-mata untuk meraih secara rakus keuntungan poket hingga merosak atau memusnahkan tidak harus dikompromikan dari terjadi lagi.

Menurut beliau, beberapa tindakan tegas penguatkuasaan pihak kerajaan terhadap pencerobohan tanah untuk pembangunan dan pertanian haram wajar mendapat sokongan dan kerjasama semua pihak.

Bahkan masalah tersebut sebelum ini hingga mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di mana berkenan mencemar duli melihat sendiri isu di Cameron Highlands.

“Positifnya, kejadian tanah runtuh yang pernah terjadi sebelum ini hingga meragut nyawa seperti di Lembah Bertam sudah hampir tidak lagi kedengaran. Tanah tinggi ini akan lebih diyakini untuk pelancong datang.

“Malah, kita sewajarnya menjadikan Cameron Highlands tempat yang paling selamat dan selesa untuk rakyat Malaysia sendiri datang beristirehat memandangkan kedudukannya yang agak di tengah-tengah peta negara,” harap beliau.

Yusma yang juga Ketua Penerangan Muslimat PAS Kawasan Bentong percaya usaha menjaga alam sekitar mampu memastikan kelestariannya sebagaimana telah dibuktikan melalui usaha Kerajaan Negeri Pahang terhadap Sungai Ichat.

Terangnya, dari sebuah sungai yang teruk tercemar termasuk oleh racun-racun pertanian, kini ia dikembalikan ke asal, bahkan lebih jernih dan selamat dengan status kualiti air tahap 1 yakni boleh diminum terus.

Beliau yakin, jika komitmen sama dilaksanakan dengan tanggungjawab oleh semua pihak, kejadian pencemaran alam sekitar tidak akan terjadi, malah membawa kenikmatan yang mengharmonikan.

“Semua pihak akan dapat menikmati anugerah alam ini secara bersama. Tidak ada yang akan terkesan secara negatif jika ia tidak dicemarkan. Keadaan di Cameron Highlands boleh menjadi model dicontohi.

“Saya juga berharap usaha pembangunan tanpa mengusik alam sekitar secara tidak sepatutnya mesti diteruskan sebagai usaha menarik keperluan kunjungan orang ramai.

“Selain itu meriahkan lagi dengan menganjurkan pelbagai acara dan aktiviti untuk menjadikan Cameron Highlands tempat meredakan tekanan reda rakyat, serta pakej mampu untuk kekeluargaan,” cadang beliau. – HARAKAHDAILY 19/10/2020

- Advertisement -