Hak Agong jaga kepentingan rakyat, negara

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah
- Advertisement -

KEMELUT kesahihan siapa mendapat sokongan majoriti sebagai Perdana Menteri timbul lagi. Kali ini Ketua Pembangkang dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, diterima menghadap Yang di-Pertuan Agong, Selasa lalu.

Anwar mempersembahkan bahawa beliau mendapat jumlah majoriti ahli Dewan Rakyat bagi membentuk kerajaan baharu. Sejurus itu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan Anwar tidak mempersembahkan senarai yang menyokong beliau menjadi Perdana Menteri. Kenyataan itu juga menyatakan Anwar perlu akur dan hormati proses undang-undang mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Sejurus Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong, dilaporkan Tengku Razaleigh Hamzah juga dipanggil menghadap. Apa dibincangkan masih menjadi rahsia tetapi umum mengetahui Yang di-Pertuan Agong mahukan pandangan beliau yang sudah tentu berkait rapat dengan kemelut politik sekarang.

- Advertisement -

Apa menarik ialah surat Tengku Razaleigh bertarikh 25 September lalu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun menggesa Undi Tidak Percaya dibahaskan.

Surat ini menjadi pengetahuan umum dan Yang Dipertua Dewan Rakyat menjawab surat bertarikh 29 September lalu bahawa Usul Persendirian Ahli Dewan Rakyat hanya akan diterima selepas selesai urusan kerajaan. Beliau juga memohon agar perkara itu dibincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan.

Jumaat lalu, Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad mengutuskan sekali lagi Usul Undi Tidak Percaya kepada Muhyiddin bersama empat lagi Ahli Parlimen daripada Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) selepas buat kali pertama pada Mei lalu.

Beberapa Ahli Parlimen daripada PAN turut mengutuskan usul sama. Ada juga Ahli Dewan Rakyat lain yang berbuat demikian. Ini menjadikan jumlah Usul Tidak Percaya kepada Perdana Menteri paling banyak dalam sejarah Malaysia.

Berbeza dengan Malaysia, amalan Usul Undi Tidak Percaya pernah berlaku di Parlimen United Kingdom (UK). Sekurang-kurangnya ada dua Usul Undi Tidak Percaya kepada Perdana Menterinya yang berjaya pada abad ke-20, iaitu 1924 dan 1979.

Usul Undi Tidak Percaya paling terbaru ialah pada 16 Januari 2019 apabila kerajaan diketuai Parti Konservatif berjaya mengekalkan kuasa. Namun, dalam sejarah Parlimen Malaysia, tidak pernah terjadi Usul Undi Tidak Percaya kepada Perdana Menteri diterima dan dibahaskan.

Cuma Usul Tidak Percaya kepada Menteri Besar pernah terjadi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada 30 Oktober 1961 dan akibatnya Kerajaan PAS Terengganu tumbang. Hal sama juga pernah berlaku di Kelantan apabila Menteri Besar, Datuk Mohamed Nasir kalah dalam Usul Undi Tidak Percaya pada Oktober 1977 yang kemudiannya menyebabkan beliau meletak jawatan. Berlaku rusuhan dan akhirnya Parlimen meluluskan Rang Undang-undang Darurat yang meletakkan pentadbiran Negeri Kelantan diuruskan Kerajaan Persekutuan.

Umum mengetahui Yang di-Pertuan Agong melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri ke-8 pada 1 Mac lalu walaupun mempunyai majoriti tipis selepas Kerajaan Pakatan Harapan (PH) jatuh dengan peletakan jawatan Dr Mahathir pada 24 Februari.

Justeru, mengikut Perkara 43(1) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara baginda untuk melantik seseorang sebagai Perdana Menteri. Bagaimanapun, baginda hendaklah memastikan individu dilantik mendapat sokongan majoriti perwakilan dalam Dewan Rakyat di Parlimen seperti dalam Perkara 43 (2) (a). 

Menurut Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan, jika Perdana Menteri hilang sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, kecuali atas permintaannya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubar Parlimen, Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan. 

Apabila Perdana Menteri didapati tidak mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat dan tidak mahu meletakkan jawatan, Undi Tidak Percaya kepada beliau boleh dibuat di Dewan Rakyat. Sekiranya Undi Tidak Percaya menunjukkan Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat, Perdana Menteri hendaklah meletak jawatan dan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen. 

Namun, mengikut Perkara 40 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa budi bicara dalam perkara pembubaran Parlimen. Baginda mempunyai budi bicara tidak membubarkan Parlimen walaupun dinasihati Perdana Menteri. Kuasa perkenan atau tidak terhadap pembubaran Parlimen adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong. 

Ironinya, Perlembagaan Persekutuan tidak memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong boleh memecat Perdana Menteri. Justeru, Yang di-Pertuan Agong boleh menasihat seseorang Perdana Menteri untuk meletak jawatan sekiranya pada hemat baginda bahawa tidak lagi mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

Yang di-Pertuan Agong diberi kuasa dalam Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan untuk memprorog atau menggantung Parlimen. Kuasa diperuntukkan ini adalah budi bicara baginda yang tidak perlu kepada nasihat Jemaah Menteri atau Menteri seperti termaktub dalam Perkara 40 (1) dan (1A). Kuasa ini tidak pernah dilakukan Yang di-Pertuan Agong dalam sejarah Malaysia.

Namun, dalam sejarah Parlimen UK, beberapa prorog diisytiharkan Raja dan Ratu. Contohnya, Raja Charles I pernah memprorog Parlimen pada 1628. Prorog paling lama dalam sejarah negara itu ialah pada Disember 1678 sehingga 27 Mei 1679 dibuat Raja Charles II.

Parlimen sepatutnya bersidang pada Julai 1679 tetapi ditangguhkan hingga Oktober 1680. Raja Charles II memprorog Parlimen sehingga 10 Januari 1681 bagi menghalang pemecatan beberapa hakim. Baginda membubarkan Parlimen pada 18 Januari 1681 dan memanggil Parlimen bersidang di Oxford pada 21 hingga 28 Mac 1681. Raja Charles II kemudian membubarkan Parlimen.

Prorog selepas itu berlaku pada 1831, 1948 dan 1997. Peristiwa prorog terbaru berlaku pada 28 Ogos 2019 apabila Ratu Elizabeth II memprorog Parlimen UK atas nasihat Perdana Menteri, Boris Johnson.

Prorog ini dianggap tidak sah dan tidak adil oleh Mahkamah. Mahkamah Agung memutuskan ketetapan ini pada 24 September 2019 dengan merujuk kepada kes Miller lwn Perdana Menteri bahawa prorog itu terbatal dan tidak sah dari segi undang-undang.

Akibatnya, prorog berkenaan terpaksa ditarik balik dan dianggap seolah-olah tidak berlaku. Melihat kepada sejarah di UK, agak sukar bagi Yang di-Pertuan Agong memprorog Parlimen Malaysia.

Meskipun mengikut Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan yang menghendaki Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri atau Menteri, baginda mempunyai kuasa besar diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan keadaan negara stabil dan aman.

Tanpa prejudis, mengikut Perkara 150(1), Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan budi bicara baginda menggantung Parlimen dan mengisytihar darurat bagi memastikan keselamatan, kehidupan ekonomi dan ketenteraman awam terpelihara. Ini demi untuk memastikan keamanan, kepentingan dan kesejahteraan rakyat umum terpelihara.

Kuasa kini di tangan Yang di-Pertuan Agong. Baginda akan menggunakan budi bicara dan pada hemat baginda apa yang terbaik untuk Malaysia mengikut acuan Perlembagaan. Daulat Tuanku!

PROF MADYA DR MOHAMED AZAM MOHAMED ADIL 
Penulis adalah Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa (IAIS) Malaysia – HARAKAHDAILY 19/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri. 

- Advertisement -