COVID-19: Tiga sekolah di Perak di tutup seminggu

- Advertisement -

IPOH: Berikutan terdapat kes positif COVID-19 yang dikesan melibatkan pelajar sekolah pada 16 Oktober baru-baru ini, tiga buah sekolah di negeri Perak telah diarahkan tutup bagi tempoh tujuh hari bermula 19 Oktober sehingga 25 Oktober depan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO Dan Masyarakat Sivil Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, sekolah terbabit melibatkan SK Kelebang Jaya, Chemor, SMK Aminuddin Baki, Chemor dan SMK Tanah Kebun, Parit Buntar.

Jelasnya lagi, sebuah sekolah juga yang terbabit dalam penutupan sesi persekolahan ini ialah Sekolah Rendah Agama Rakyat (SRAR) Raudhatul Ulum, Klebang Restu Chemor.

Menurut beliau, tindakan penutupan sekolah itu diambil sebagai langkah pencegahan awal bagi mengekang penularan wabak COVID-19 selari dengan kehendak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Diharapkan semua pihak dapat memberi Kerjasama sebaiknya. Sebarang maklumat lanjut dan arahan susulan akan dimaklumkan dati semasa ke semasa. Walau bagaimanapun, semua pihak diminta terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

InsyaAllah, proses sanitasi di kawasan sekolah juga akan dilaksanakan kepada semua sekolah yang terlibat. Ia bukan sahaja bertujuan mencegah penularan virus COVID-19, malah (ia) juga sebagai usaha proaktif memusnahkan kuman itu,” jelas Razman.

Dalam pada itu, Razman turut menekankan agar semua ibu bapa sentiasa mengambil cakna terhadap tahap kesihatan anak-anak dan memastikan mereka bebas dari sebarang gejala COVID-19 seperti demam, batuk dan selesema. – HARAKAHDAILY 19/10/2020

- Advertisement -