Tolak agenda rakus Anwar

- Advertisement -

ANGKA ‘120’ mula menjadi perhatian rakyat Malaysia terutama pemerhati politik selepas Ketua Pembangkang Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang media 23 September lalu, mendakwa mendapat sokongan yang ‘kukuh dan meyakinkan’ untuk membentuk sebuah kerajaan baharu menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tanggal 13 Oktober menyaksikan dakwaan Anwar masih tidak dapat merungkai mainan angka seperti yang dimomokkan oleh beliau.

- Advertisement -

Angka ini kekal menjadi tanda tanya walaupun sesi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ditunggu-tunggu telah pun berlaku.

Malah, pengumuman dalam sidang media oleh Anwar pun dilihat tidak berjaya memberi apa-apa bayangan kukuh mengenai sebarang perubahan kepada Kerajaan Persekutuan.

Turut menjadi pertanyaan, mampukah Anwar menyenaraikan seramai 120 Ahli Dewan Rakyat seperti yang didakwa olehnya itu untuk sertai ia?

Jika sekalipun perkara itu berlaku apa pula kata DAP yang terang-terang menolak kerajaan yang majoriti dalamnya adalah Melayu?

Walaupun sebelum ini, ada suara yang mengatakan bahawa DAP tidak akan mampu menghancurkan kaum Melayu, namun sebaliknya boleh terjadi.

Ianya sekiranya DAP sekali lagi ‘memperkudakan’ Melayu sekiranya cita-cita Anwar untuk menjadi Perdana Menteri tercapai.

Lebih menimbulkan tanda tanya apakah Melayu akan tertipu lagi di sebalik ketamakan Anwar demi kepentingan nafsu politiknya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia?

Jika ia berlaku, Anwar yang bertanggungjawab menyerahkan kuasa politik orang Melayu di negara ini kepada DAP untuk kali yang kedua, besar kemungkinan, muktamad.

Oleh itu, Muafakat Nasional perlu diperkukuhkan supaya tidak memberi ruang kepada Anwar untuk di negara ini demi kemashlahatan dan perpaduan kaum di negara ini.

Rakyat sendiri telah menyaksikan selama 22 bulan Pakatan Harapan memerintah negara, DAP yang punyai 42 kerusi Parlimen paling lantang bersuara, banyak yang ia pertikaikan itu dan ini.

Lebih-lebih lagi bila hal keistimewaan Melayu diusik secara ‘berprotokol’ rasmi contohnya institusi Tabung Haji.

Keghairahan Anwar dan angka 120 itu sebenarnya memuntahkan penderitaan rakyat yang telah muak dengan mainan politik dan kerakusan cita-citanya itu.

Di media-media sosial, rakyat meluahkan rasa muak terhadap kerakusan Anwar yang secara perlahan-lahan menambah penderitaan dan trauma rakyat yang sedang berdepan detik-detik kehidupan yang berubah 180 darjah selepas wabak Covid-19 melanda negara.

Rata-rata berharap semua ahli politik hentikan peperangan politik untuk sementara waktu, ada yang berpandangan supaya kekalkan sahaja kerajaan sedia ada supaya kerajaan hari ini memberi fokus kepada usaha-usaha membantu rakyat di kala Covid-19 sedang mengganas.

Ini kerana rakyat tidak tahu apa masalah yang berlaku di antara parti politik sama ada dalam kerajaan, malah pinta mereka usah heret mereka ke dalam kancah politik negara, mereka tidak mahu mengambil tahu.

Pun begitu, rakyat menolak agenda rakus Anwar yang sentiasa mengambil peluang untuk memenuhi agenda peribadinya yakni sebuah cita-cita yang telah lama ditanam sejak zaman Reformasi tahun 1998.

Sikap Anwar dilihat amat pentingkan diri, patutlah Anwar sentiasa menjuarai ‘title’ PM tepi. – HARAKAHDAILY 18/10/2020

- Advertisement -