PKPB : Melihat saat sukar peniaga kecil

Foto hiasan.
- Advertisement -

BARU-baru ini Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya telah dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat peningkatan mendadak kes Covid-19 di kawasan ini. Sabah adalah negeri yang paling teruk terjejas. Sejak bermulanya gelombang ketiga Covid-19, Sabah merekodkan kes harian negeri tertinggi hampir setiap hari.

- Advertisement -

Walaupun PKPB tidak menyebabkan total lockdown seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun pasti banyak sekatan pergerakan yang akan menyebabkan terjejasnya aktiviti-aktiviti ekonomi terutamanya melibatkan peniaga-peniaga kecil.

Sungguhpun begitu PKPB ini sangat penting untuk mengelakkan wabak ini daripada membunuh lebih banyak lagi nyawa manusia di negara kita ini. Namun dalam membuat keputusan ini sudah pasti kerajaan sudah membuat penelitian dalam mengimbangi antara matlamat untuk menyelamatkan nyawa rakyat dengan menjaga pendapatan rakyat dan negara.

Kesan terhadap penutupan sektor ekonomi bukan kecil. Berdasarkan kajian, penutupan sektor ekonomi secara total di seluruh negara boleh menyebabkan negara mengalami kerugian sebanyak RM2.4 bilion sehari apabila ekonomi tidak bergerak.

Kelonggaran untuk sektor ekonomi bergerak dalam penguatkuasaan PKPB di negeri-negeri terlibat sebenarnya sedikit melegakan. Namun ia tetap memberi kesan pengurangan sumber pendapatan kepada rakyat terutama golongan peniaga kecil.

Apabila kita mengkaji tentang kesan ekonomi ia sudah pasti harus dilihat dari sudut makro ekonomi iaitu kesan sesuatu tindakan terhadap rantaian ekonomi secara keseluruhan. Sebagai contoh, selain daripada kita melihat secara terus apabila peniaga tidak dibenarkan berniaga menyebabkan peniaga itu hilang pendapatan, kita lihat juga kesan seseorang pekerja di sektor lain yang hilang pekerjaan. Ia akan menyebabkan pekerja itu hilang kuasa beli dan akhirnya memberi kesan pada golongan peniaga juga, sekalipun tiada halangan untuk peniaga itu berniaga. Ini yang dikatakan kesan berantai makroekonomi.

Jika kita lihat kepada arahan penguatkuasaan PKPB ini terdapat arahan penutupan kepada semua sekolah, institusi pengajian tinggi, institut latihan kemahiran, tadika, taska, pusat tahfiz, taman-taman awam dan pusat rekreasi.

Selain daripada kesan terus daripada penutupan sekolah yang bermaksud pengusaha kantin tidak dapat berniaga, turut terkesan ialah penjaja yang berniaga berhampiran sekolah juga tidak dapat berniaga kerana tiada murid yang akan membeli barang jualan mereka.

Begitu juga dengan arahan untuk tidak membenarkan semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya termasuk majlis perkahwinan dan pertunangan sudah tentu ada kesan langsung kepada usahawan-usahawan penyelaras majlis dan juga katering. Seterusnya memberi kesan juga kepada pekerja-pekerja yang selama ini bergantung dengan gaji yang mereka terima daripada syarikat-syarikat ini.

Antara mekanisme paling penting dalam tindakan mengatasi krisis ekonomi akibat daripada kesan Covid-19 ialah moratorium yang dilaksanakan kerajaan sejak 1 April lepas. Malangnya ia telah pun tamat pada 30 September lepas.

Namun Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 29 Julai lepas mengumumkan lanjutan kepada program ini dengan melaksanakan moratorium bersasar bermula Oktober ini. Antara yang termasuk di dalam sasaran program ialah penangguhan ansuran pinjaman selama tiga bulan untuk mereka yang hilang pekerjaan; pengurangan ansuran bulanan bagi mereka yang dipotong gaji mengikut kadar pemotongan gaji yang dihadapi dan juga moratorium untuk peniaga kecil dan sederhana (PKS) juga yang bekerja sendiri.

Moratorium bersasar untuk PKS ini melibatkan beberapa kelonggaran antaranya, peminjam hanya perlu membayar faedah pinjaman sahaja dan kebenaran menstruktur semula hutang dengan memanjangkan tempoh pembayaran agar dapat mengurangkan kadar ansuran bulanan.

Bagi penulis memang moratorium ini seharusnya bersasar kerana ia melibatkan jumlah yang besar dan bukan semua rakyat yang terjejas pendapatan mereka akibat Covid-19. Sebagai contoh, kakitangan kerajaan setakat ini tidak dipotong gaji walaupun mereka diberi cuti atau bekerja dari rumah semasa PKP dulu. Cuma penulis setuju insentif perlu diberi kepada kakitangan kerajaan yang terlibat sebagai barisan hadapan menentang Covid-19 kerana mereka bekerja lebih kuat sepanjang krisis wabak ini.

Memang sejak dari awal krisis ini kerajaan telah pun mewujudkan banyak insentif untuk membantu rakyat yang terjejas terutamanya PKS melibatkan nilai RM295 bilion. Jumlah ini termasuk pakej Prihatin (RM250 bilion), Prihatin tambahan (RM10 bilion) dan Penjana (RM35 bilion).

Selain moratorium, turut diwujudkan ialah Bantuan Prihatin Nasional, Bantuan Khas Untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana, Program Subsidi Upah dan Program Diskaun Bayaran Elektrik. Program Diskaun Bayaran Elektrik ini juga diharapkan dapat meringankan beban kepada enam sektor perniagaan yang terjejas teruk seperti pengendali hotel, pengendali taman tema, agensi pelancongan, pusat membeli-belah dan pusat konvensyen.

Selain daripada kita berusaha mencari jalan untuk mengatasi isu pendapatan rakyat di saat Covid-19 ini jangan lupa bahawa yang lebih penting ialah untuk kita sama-sama berusaha memutuskan rantaian Covid-19 ini.

Kerajaan dan rakyat harus sama-sama bekerja keras agar penguatkuasaan PKPB ini tidak melarat ke tempat lain yang boleh merencatkan lagi proses pemulihan ekonomi negara yang terkesan akibat Covid-19 ini.

Ahli-ahli politik harus berhenti dahulu berpolitik agar segala jentera kerajaan dapat menumpukan sepenuh masa untuk mengatasi gelombang wabak ini yang semakin menggila.

Walaupun ramai yang berkata jentera kerajaan terus berjalan walau siapa pun memerintah, namun jika sesuatu berlaku kepada parti yang memerintah pasti akan memberi kesan kepada keberkesanan jentera kerajaan ini untuk membuat keputusan. Akhirnya yang rugi adalah kita semua.

IBNU JANIE
Penulis adalah Ketua Unit Berita Jabatan Penerangan PAS Melaka dan Ketua Penerangan PAS Masjid Tanah Melaka – HARAKAHDAILY 18/10/2020

- Advertisement -