Kemelut MAS wajar pertimbangan semua pihak

DEWAN Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa supaya semua pihak tidak mengambil mudah terhadap kemelut panjang yang melanda Syarikat Penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB). Malah, dalam masa yang sama turut menggesa penubuhan suatu Suruhanjaya Khas yang dilantik dalam kalangan pakar bidang penerbangan supaya membantu mengemukakan syor-syor baharu bagi memulihkan MAB dan industri penerbangan domestik pada masa akan datang. 

Langkah penyusunan semula operasi kecemasan dan kajian Rancangan Perniagaan Jangka Panjang (LTPB) yang diumumkan oleh MAB pada awal Oktober yang lalu perlu diberi perhatian yang khusus supaya nasib kira-kira 14 ribu kakitangannya tidak akan terjejas. Tambahan lagi, Kementerian Kewangan juga kekal konsisten mengatakan bahawa tiada dana akan disalurkan kepada MAB dan terpulang sepenuhnya kepada Khazanah Nasional Bhd sebagai pemilik tunggal untuk menguruskannya. 

Melihat kepada situasi pandemik COVID-19 yang melanda dunia ketika ini, semua syarikat penerbangan utama seluruh dunia terjejas teruk dan memerlukan penstrukturan semula yang drastik untuk kekal bersaing. Penstrukturan drastik ini memerlukan semua pemegang taruh industri termasuk pemberi pinjaman, pemiutang, dan pembekal utama untuk duduk semeja dan bersepakat dalam memastikan kelangsungan industri ini pasca COVID-19 akan datang. Peranan Khazanah dalam hal ini perlu dioptimumkan bagi memberikan suatu penyelesaian jalan keluar yang lebih tuntas terhadap MAB. 

Advertisement

Isu ‘overcapacity’ syarikat penerbangan yang mendorong kepada ‘overlapping routes’ yang berlaku dalam industri penerbangan negara juga memerlukan perhatian yang serius. Keadaan ini telah menyukarkan syarikat penerbangan domestik bertahan sementelah impak COVID-19 dengan penurunan permintaan penumpang yang ketara. Oleh itu, perkara ini perlu kepada penelitian yang menyeluruh oleh Suruhanjaya Khas tersebut untuk menyediakan pelan berdasarkan situasi menang-menang kepada semua syarikat penerbangan negara.

Pada saat ini, Khazanah Nasional Bhd secara khususnya perlu mempertimbangkan beberapa perkara terhadap MAB. Antaranya ialah:

(i) Memastikan kebajikan para pekerja supaya tidak menjadi mangsa penstrukturan kecemasan MAB khususnya ketika rakyat berhadapan dengan wabak COVID-19 yang menjejaskan kewangan peribadi. 

(ii) Memastikan identiti Malaysia Airlines kekal sebagai syarikat penerbangan nasional untuk jangka masa panjang ketika mempertimbangkan sebarang bentuk ‘partnership’ kelak.

(iii) Menubuhkan Suruhanjaya Khas dalam kalangan pakar penerbangan untuk mempertimbangkan syor-syor dalam menyelesaikan isu ‘overcapacity’ industri penerbangan domestik secara komprehensif. 

(iv) Memperbaiki serta mempertingkatkan mutu perkhidmatan MAB supaya kekal menjadi pilihan nombor satu rakyat di negara ini. 

DPPM mengharapkan agar usaha memulihkan syarikat penerbangan negara MAB tidak terhenti begitu sahaja. Perkara ini memerlukan usaha dan komitmen yang jitu daripada pelbagai pihak. Mengambil semangat negara berkebajikan, rakyat juga boleh membantu industri penerbangan negara dengan mengutamakan syarikat penerbangan tempatan. Sekian.

IR. TS. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 18/10/2020