Agenda rakyat lebih penting berbanding kepentingan Anwar

KATAK puru bawah tempurung,
Bunyi bising seluruh kampung,
Pergi istana senarai kosong,
Kaki temberang ‘Si Tong Kosong’


Tajam pantun yang dilontarkan Timbalan Pengarah Institusi Kajian Etnik (KITA) UKM, Prof Madya Dr Kartini Aboo Talib @ Khalid ketika menutup tirai Analisis Bersama Finaz Yunus pada Rabu lalu.

Advertisement

Ganjilnya, masih ada yang tidak dapat menerima teguran dan sindiran itu ditujukan buat tokoh mereka walaupun terang lagi bersuluh tindakan Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim itu tidak boleh diterima masyarakat.

Sebelum itu, berkali-kali juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Mohd Najwan Halimi membenarkan atau menyokong tindakan Presidennya pada Selasa yang mengadap Yang di-Pertuan Agong (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kononnya untuk kemukakan jumlah majoriti yang dimilikinya.

Kata Mohd Najwan, itu adalah satu proses politik yang tidak harus dipandang pelik dan perlu dibiarkan ia berlaku memandangkan Anwar merupakan seorang ahli politik.

Orang politik, tidak bermain dengan politik adalah naif, kata Mohd Najwan.

Malah, Mohd Najwan turut mempertikaikan tindakan kerajaan tidak membentangkan Usul Undi Tidak Percaya dalam Sidang Dewan Rakyat sebelum ini yang menurutnya satu tindakan yang tidak selari sekiranya kerajaan hari ini mahu membincangkan soal legitimasi.

Mohd Najwan pada masa sama merasakan tindakan Anwar baru-baru ini adalah satu tindakan berisiko tetapi berani di mana Anwar tidak melakukan apa-apa political move di dalam semak seperti mana ahli-ahli politik lain.

Justeru itu, ia adalah satu proses biasa di dalam langkah politik dan tidak harus dibimbangi, kata Mohd Najwan.

Benarkan ini satu proses biasa buat rakyat?

Persoalannya, kenapa Anwar begitu tergesa-gesa untuk menghadap Al-Sultan Abdullah tanpa names dan hanya ada numbers? Bukankah lebih baik sekiranya Anwar mengambil masa mengumpul names with numbers kemudian baharulah menghadap?

Sebenarnya, rakyat masih belum hilang rajuk dengan ahli politik sejak daripada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, dan kesan kelembapan ekonomi akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih belum pulih dengan baik.

Masih di peringkat pemulihan, sangkanya sudah ada sedikit sinar dan harapan untuk melihat wabak ini terusir setelah mematuhi SOP dan sedikit gembira dengan perkembangan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) apabila majlis-majlis keramaian sudah dibenarkan.

Baru dua tiga kali jejak kenduri kahwin, melancong ke sana-sini dalam negara, tiba-tiba kes meningkat setelah PRN Sabah, disusuli pula penambahan kluster-kluster baharu.

Dalam kesempitan itu, ada juga pihak yang mengapi-apikan hubungan rakyat dengan kerajaan.

Rakyat mengerti mengenai numbers yang dimiliki Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan satu numbers yang begitu jauh bezanya dengan pakatan pembangkang.

Namun, ia bukan bererti rakyat mahukan Perdana Menteri yang mempunyai numbers atau jumlah majoriti ahli parlimen yang kukuh serta merta tanpa mendepani cabaran utama negara ketika ini, iaitu penularan Covid-19.

PRN Sabah, kemudian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di beberapa lokasi, dan di tengah-tengah itu ada isu politik yang tidak ada kena mengena dengan rakyat.

Kenapa Anwar begitu tergesa-gesa? Adakah kerana Anwar juga gerun untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang? Adakah Anwar juga gementar bahawa dia akan hilang peluang untuk menjadi Perdana Menteri tanpa melalui PRU sepertimana Muhyiddin? Inikah satu-satunya peluang yang ada?

Koalisi pakatan mana yang akan mengangkat Anwar selepas ini? Masihkah Pakatan Harapan (PH) mahu mencalonkan Anwar ketika ini? Berpeluangkan Anwar selepas ini? Atau inikah caranya untuk memujuk PH yang sudah mencalonkan Datuk Seri Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri selepas ini?

Atau ia sebenarnya umpan untuk mencari mangsa dan tempat baharu?

Tindakan Anwar sebenarnya sedikit sebanyak membuka pekung komponen parti di dalam Perikatan Nasional (PN) yang mula menunjukkan taring masing-masing.

Tapi, serapuh itukah kekuatan PN dan MN?

Apa yang berlaku sememangnya sesuatu yang masih di dalam kawalan andai kata mahu dibandingkan dengan krisis-krisis politik sebelum ini yang lebih dahsyat. Ia hanyalah pergolakan golongan elit yang diperhatikan rakyat.

Politik muafakat yang terbentuk daripada parti-parti yang kecil bukan sesuatu yang baharu dan rakyat juga menerima dengan baik PN di bawah kepimpinan Muhyiddin. Cuma, politik melompat parti adalah sesuatu yang kurang selesa dan menyusahkan semua pihak, bukan sahaja kerajaan, bahkan rakyat juga terkena tempias.

Mujur ada tiang seri negara, YDPA yang sentiasa meredakan dan meleraikan kekusutan yang berlaku. Tanpa tiang ini, belum tahu nasib Malaysia ketika ini.

Kata Prof Kartini, tindakan Umno untuk membuat pertimbangan bersama PN adalah sesuatu yang pastinya dijangka oleh Bersatu dan boleh dinamakan sebagai poligami politik yang berdepan dengan pergaduhan, kurang berpuas hati dan sebagainya.

Namun, andai kata permuafakatan itu sebenarnya berasakan kepada kepentingan parti, jadi sejauh mana kepentingan rakyat menjadi keutamaan setakat ini?

Sekiranya apa yang dilihat oleh parti-parti yang berada di dalam PN ketika ini adalah untuk menjadi King Maker, justeru rakyat akan mempersoalkan di mana kedudukan dan kepentingan mereka di dalam PN ketika ini. Andai rakyat menjadi keutamaan, maka perkukuhkanlah asas tersebut.

Ahli politik tidak perlu melihat jauh dalam mencari moral kompas kepimpinan negara, cukup dengan hanya berlandaskan prinsip Rukun Negara untuk mereka sedar kembali di mana mereka hari ini, apa tujuan mereka dan mengapa mereka berada di atas sana hari ini, kata Prof Kartini.

Semuanya jelas mereka berada di atas sana kerana rakyat dan amanat rakyat yang perlu dijadikan keutamaan. Kalau Umno masih berkeras untuk menonjolkan bahawa I am the big brother, imej tersebut akan kembali kepada rakyat dan menimbulkan tanda tanya bahawa di manakah mereka, jelas Prof Kartini.

Hal ini kerana, ia jelas kedudukan mereka di atas adalah disebabkan kepercayaan yang diberikan rakyat dan sekiranya mereka, ahli politik gagal dalam membawa mandat rakyat, justeru itu, ia perlu dikembalikan Institusi Raja-Raja dalam memastikan hasrat utama negara tercapai. Terutamanya, di saat negara berdepan dengan saat genting sebegini.

Ahli politik, mereka perlu kembali sedar yang usaha utama ketika ini adalah menangani Covid-19 dan bagaimana mahu menguruskan impak kepada ekonomi jangka panjang tanpa mengabaikan negeri-negeri yang dipimpin pihak pembangkang.

Benar, trend berpolitik kini berubah, namun bukankah kita, rakyat Malaysia termasuk ahli politik mempunyai agenda yang lebih penting berbanding mengutamakan kepentingan parti dan peribadi? – HARAKAHDAILY 18/10/2020