NTF diatur gerak kekang migran bolosi sempadan

Melibatkan seramai 12,104 anggota dari 19 agensi keselamatan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pasukan Petugas Khas Kebangsaan (NTF) mengatur gerak seramai 12,104 anggota bagi memperkasakan Op Benteng, sekali gus mengekang migran daripada membolosi sempadan negara terutama melalui ‛lorong-lorong tikus’.

- Advertisement -

Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jen Tan Sri Affendi Buang berkata ia melibatkan 19 agensi keselamatan dan penguatkuasaan termasuk pasukan Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Beliau berkata penglibatan dan kerjasama padu anggota serta aset dari agensi-agensi keselamatan di bawah NTF, kawalan sempadan daratan dan perairan negara mampu diperketatkan tanpa menjejaskan atur gerak pasukan dan aset ATM di bawah penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) terutama di Sabah.

“NTF melalui Op Benteng melaksanakan inisiatif memperkukuhkan kawalan dan rondaan maritim meliputi pelaksanaan Inisiatif Bertanya Khabar, pemeriksaan bot-bot dan penggeledahan yang dilaksanakan di sepanjang perairan Pantai Timur Sabah di bawah fasa pertama Op Cegah Pati (OCP) yang bermula 18 September lalu.

“Dengan pelaksanaan fasa pertama OCP ini, sebanyak 142 tangkapan melibatkan migran dibuat melalui 22 siri rondaan yang dilaksanakan di samping 176 pemantauan udara melibatkan Tentera Udara Diraja Malaysia yang bermula 12 Mei lepas di Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan semalam.
 
Beliau berkata aspek kawalan keselamatan terutama di pesisir dan pulau-pulau di Pantai Timur Sabah turut diperkasakan melalui rondaan dan kawalan keselamatan yang dilaksanakan oleh Tentera Darat dan Pasukan Gerakan Am.

“Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen turut  bersama memperkukuhkan penguatkuasaan keselamatan di pintu-pintu sempadan negara terutama di Pantai Timur Sabah,” katanya.

Selain itu, Affendi berkata masyarakat hendaklah bekerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat berkenaan pendatang tanpa izin, aktiviti penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Maklumat boleh disalur melalui talian hotline Pusat Operasi NTF iaitu 011-6251 1223. Kerjasama daripada semua pihak adalah amat dihargai dalam usaha memastikan operasi ini dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -