Kesan berpanjangan COVID-19

- Advertisement -

RAMAI di antara pesakit COVID-19 yang sekadar mengalami simptom ringan jangkitan. Ini termasuk batuk, demam, hilang deria bau dan rasa. Kebiasaannya, selepas dua minggu mereka disahkan bebas dari virus corona SARS-2 (Severe acute respiratory syndrome coronavirus-2; SARS-CoV-2). 

Bagaimanapun, terdapat kira-kira 10-15 peratus kes jangkitan bertukar menjadi parah dengan 5 peratus daripadanya kritikal, yang kebiasaannya memerlukan sokongan alat bantuan pernafasan. Pesakit-pesakit ini berpeluang untuk sembuh dari jangkitan dengan izin Allah, walaupun mungkin terpaksa melalui pengalaman ngeri yang penuh keinsafan. Ada di antara pesakit yang perlu menerima rawatan susulan berbulan-bulan lamanya bagi mengembalikan tahap kesihatan dan keupayaan diri.

Baru-baru ini timbul isu berkaitan dengan simptom jangkitan COVID-19 yang tidak reda, biarpun ujian saringan virus menunjukkan bacaan negatif. Ada di antara bekas pesakit yang mengadu masalah batuk yang berpanjangan, sesak nafas, sakit sendi, deria rasa dan bau yang tidak berfungsi selain dari keletihan kronik yang mengganggu kualiti hidup mereka. Bekas pesakit ini ada di antara mereka yang telah disahkan bebas dari virus corona SARS-2, lebih dari 6 bulan. 

- Advertisement -

Menghairankan apabila masalah ini turut melibatkan bekas pesakit yang mengalami simptom ringan jangkitan di kalangan kanak-kanak dan orang muda yang asalnya mempunyai tahap kesihatan yang baik sebelum jangkitan. 

Pakar kesihatan berpendapat, jangkitan Virus Corona SARS-2 berkemungkinan besar turut mengakibatkan kerosakkan pada otot jantung selaian dari tisu paru-paru. Ia juga memberi kesan kepada otak, sistem saraf dan sistem muskuloskeletal yang merangkumi antaranya tulang, sendi, otot, tendon dan ligamen. 

Kajian ke atas bekas pesakit sindrom pernafasan akut teruk (SARS) yang berlaku pada tahun 2003, turut menunjukkan terdapat bekas pesakit yang mengambil masa lebih dari tiga tahun untuk sembuh sepenuhnya dari kesan jangkitan. 

Dapatan kajian ini membuktikan jangkitan Virus Corona tidak sekadar memberi kesan jangkitan jangka masa pendek tetapi berkemungkinan juga memberi kesan jangka masa panjang yang serius. 

Wajarlah kita bersama-sama berdoa agar Allah mengangkat ujian ini dan memberi kesembuhan segera kepada saudara-saudara kita yang sedang diuji dengan jangkitan ini di seluruh dunia. Sangat penting untuk kita mematuhi tatacara operasi standard bagi memutuskan rantaia COVID-19 dan mengamalkan gaya hidup sihat bagi memastikan sistem pertahanan badan kita di tahap optimum. 

DR. HANI’AH ABDULLAH
Anti-infective virologist
Alderley Park.

Rujukan utama;
WHO: coronavirus update 36 – HARAKAHDAILY 17/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -