Tiga parti jangan terlerai oleh sandiwara Anwar

- Advertisement -

BAGAN SERAI: Ganding bahu PAS, Umno dan BERSATU memperkukuhkan kerajaan sedia ada penting bagi memelihara perpaduan negara seterusnya memperkemas usaha menangani cabaran ketika ini.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria berkata, pada ketika ini semua pihak sedang menghadapi kebimbangan penularan semula COVID-19 yang memasuki gelombang ketiga negara ini dan kian meninggi di carta dunia.

“Kita (perlu) perkukuhkan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional (PN) sehingga pilihan raya yang akan datang. Ini kerana, kedua-duanya penting untuk perpaduan negara. Itu matlamat yang kita bawa, tapi kalau rakan-rakan jadi lain (berpaling), maka (ia) bukan di bawah kawalan kita.

“Dalam situasi kini, muhasabah merupakan jalan yang utama. Usah kerana sandiwara Anwar (Ibrahim), perpaduan sedia ada dalam ketiga-tiga parti PAS, Umno dan BERSATU (jadi) terlerai,” jelas Razman yang juga merupakan ADUN Gunung Semanggol.

Beliau berkata sedemikian ketika ditemui di dalam program Bumi Hijau anjuran Jabatan Pertanian di Pejabat Penghulu Mukim Semanggol, di sini, semalam.

Tegas beliau, PAS Perak akan terus bertindak selari dengan keputusan yang disepakati pimpinan PAS Pusat, di mana PAS konsisten mendokong Kerajaan PN yang diterajui Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui sokongan penuh 18 Ahli Parlimen PAS.

Program Bumi Hijau ini menyaksikan penyerahan kit pertanian yang terdiri dari lima bekas pasu, cuka kayu yang berfungsi sebagai penghalau serangga dan penyubur pokok, baja organik daun (Leafy Fertilizer) dan pelbagai benih tumbuhan.

Seramai 109 penerima kit pertanian itu juga turut dibekalkan dengan sebuah beg tanah kompos beserta buku manual tanaman program Bumi Hijau yang disedikan oleh Jabatan Pertanian Negeri Perak.

Penyerahan dilakukan secara ‘drive-thru‘ atau pandu lalu bagi mengelakkan perkumpulan ramai di samping sebagai usaha mematuhi Standard Operasi Prosedur (SOP) bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

Turut hadir dalam majlis tersebut Pegawai Pertanian Daerah Kerian, Ridhuan Othman dan Penghulu Mukim Semanggol, Abdul Razak Mohd Yunus. – HARAKAHDAILY 16/10/2020

- Advertisement -