Tabung Darah Negara alami kekurangan stok

Mohon masyarakat tampil menderma terutama darah Kumpulan B

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pusat Darah Negara (PDN) menyeru orang ramai, khususnya mereka yang mempunyai darah Kumpulan B, supaya tampil menderma darah bagi meningkatkan stok darah berkenaan.

Pengarah Pusat Darah Negara (PDN) Dr Noryati Abu Amin berkata, bekalan darah daripada kumpulan itu menyusut kerana kegusaran orang ramai tampil menderma darah susulan peningkatan kes COVID-19 sejak kebelakangan ini.

“Orang ramai digalakkan untuk terus konsisten menderma darah dan tidak menjadikan peningkatan kes COVID-19 pada masa kini, sebagai penghalang untuk berbuat demikian.

- Advertisement -

Ini amat penting bagi menampung keperluan bekalan darah setiap hari termasuk daripada Kumpulan B dan stok sedia ada  susut,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Beliau berkata orang ramai yang berhasrat untuk menderma darah tidak perlu khuatir kerana pihaknya sentiasa mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan Kementerian Kesihatan bagi membendung penularan wabak itu.
 
Dr Noryati berkata pihaknya juga akan memastikan proses menderma darah yang dilakukan ke atas setiap individu itu selamat.

“Memang sebelum berlakunya penularan wabak ini, kita di PDN memang mempunyai SOP yang ketat sebelum membenarkan mana-mana individu menderma darah.

“Kita akan pastikan penderma sihat 100 peratus  dan pendekatan itu juga kita guna sehingga kini, jadi mana-mana individu yang tidak sihat contohnya demam, memang kita tidak membenarkan mereka untuk menderma darah,” katanya.

Beliau berkata orang ramai juga tidak perlu risau kerana COVID-19 telah dikenal pasti tidak akan berjangkit melalui pemindahan darah.

Mengulas lanjut, Dr Noryati berkata sehingga hari ini PDN mempunyai kira-kira 2,000 stok beg darah dan 600 beg diagihkan untuk menampung keperluan  seluruh hospital di Lembah Klang dalam sehari.

“Buat masa ini stok bekalan darah masih mencukupi namun kita bimbang sekiranya orang ramai takut dan khuatir untuk tampil menderma darah kerana peningkatan kes COVID-19, bekalan darah akan berada pada paras kritikal.

“Kita tidak mahu ini berlaku kerana kita memerlukan bekalan yang mencukupi bagi menampung kes luar jangka seperti yang membabitkan kemalangan dan pembedahan di mana pesakit memerlukan bekalan darah segera,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -