Skuad Perkeso Prihatin cepat bertindak

- Advertisement -

TANAH MERAH: Skuad Perkeso Prihatin Kelantan membantu keluarga arwah Azman Che Amat, yang meninggal dunia akibat lemas di Terengganu, Jumaat lepas.

Anggota Exco kerajaan negeri Mejar (B) Dato’ Md Anizam Ab Rahman berkata, Perkeso menyampaikan sumbangan Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Jenazah (FPJ) kepada warisnya.

- Advertisement -

Selain itu katanya keluarga terbabit mendapat Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000.

“Manakala balu dan anak-anak arwah yang berumur bawah 21 tahun menerima Pencen Penakat sebanyak RM609.75 sebulan,” katanya selepas menyampaikan sumbangan tersebut kepada balu mangsa, Noraini Mohd Nor, 44 di Kampung Batu Enam, di sini semalam.

Hadir sama Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob.

Md Anizam yang juga Adun Kemahang berkata, tindakan pantas Perkeso bagi membantu balu dan keluarga setelah ketua keluarga meninggal dunia.

“Kerajaan negeri mengucap terima kasih kepada Perkeso di atas usaha tersebut. Kami hargai di atas segala tindakan yang dibuat,” ujarnya.

Nora pula berkata, hasil semakan yang dilakukan didapati arwah menjadi pencarum yang membolehkan balu dan tiga anak berusia bawah 21 tahun menerima pencen penakat.

Menurutnya ia sedikit sebanyak dapat membantu anak-anak dan isteri arwah yang bekerja di sebuah kedai runcit.

Allahyarham Azman meninggal dunia selepas terjatuh ketika menjala ikan di Kompleks Perikanan Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) Besut, Kuala Besut.

Sementara itu, Noraini yang baru dua bulan berkahwin dengan allahyarham berkata beliau tidak menyangka arwah suami mencarum dengan Perkeso.

“Walaupun dia sudah tiada, berkat usaha kerjanya selama ini dapat memberi ‘nafkah’ bulanan melalui Perkeso,” ujarnya.

Beliau memberitahu, arwah mempunyai empat anak berusia tujuh hingga 23 tahun hasil dua perkahwinannya sebelum ini. – HARAKAHDAILY 16/10/2020

- Advertisement -