Lima punca utama kehancuran kerjasama politik

BERDASARKAN kajian saya ke atas kehancuran beberapa kerjasama politik sebelum ini, ada lima isu utama yang sangat berpotensi untuk memutuskan mana-mana kerjasama politik, iaitu:

(1) Agihan jawatan kerajaan seperti jawatan Menteri, jawatan Menteri Besar atau Ketua Menteri, jawatan Ahli EXCO Kerajaan Negeri dan sebagainya. Seelok-eloknya hendaklah diwujudkan satu formula jelas yang dipersetujui bersama, dan yang seboleh-bolehnya mengambil kira bilangan kerusi yang dimiliki oleh setiap parti politik, bagi mengelakkan ketidakpuasan hati mana-mana pihak. Contohnya ialah penetapan kuota 6 wakil PAS dan 3 wakil S46 untuk lantikan politik bagi segenap peringkat di Kelantan yang pernah diputuskan oleh Kerajaan Kelantan pada 24 Oktober 1990.

(2) Agihan kerusi pilihan raya seperti kerusi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri. Seelok-eloknya hendaklah juga diwujudkan satu formula jelas yang dipersetujui bersama, dan yang seboleh-bolehnya mengambil kira prestasi yang ditunjukkan oleh setiap parti politik dalam pilihan raya sebelumnya, bagi mengelakkan ketidakpuasan hati mana-mana pihak. Contohnya ialah penetapan formula parti politik yang memenangi undi terbanyak di sesuatu kerusi dalam pilihan raya sebelumnya hendaklah diberi keutamaan meletakkan calon di kerusi itu melainkan adanya pertukaran suka sama suka.

Advertisement

(3) Kuasa memilih penjawat jawatan-jawatan kerajaan dan calon-calon pilihan raya. Seelok-eloknya hendaklah diwujudkan satu peraturan jelas yang dipersetujui bersama, dan yang seboleh-bolehnya mengambil kira kehendak akar umbi setiap parti politik, bagi mengelakkan ketidakpuasan hati mana-mana pihak. Contohnya ialah penetapan peraturan penjawat jawatan-jawatan kerajaan dan calon-calon pilihan raya hendaklah datang daripada nama-nama yang dicalonkan oleh setiap parti politik.

(4) Pengambilan tindakan disiplin ke atas ahli-ahli parti rakan. Seelok-eloknya hendaklah diwujudkan satu peraturan jelas yang dipersetujui bersama, dan yang seboleh-bolehnya mengambil kira perlembagaan setiap parti politik, bagi mengelakkan ketidakpuasan hati mana-mana pihak. Contohnya ialah penetapan peraturan ketidakpuasan hati ahli parti politik ke atas ahli parti politik rakan hendaklah ditangani oleh satu badan bersama sebelum diserahkan kepada jawatankuasa disiplin parti politik rakan.

(5) Mobilisasi di antara ahli-ahli parti. Seelok-eloknya hendaklah diwujudkan satu peraturan jelas yang dipersetujui bersama, dan yang seboleh-bolehnya mengambil kira kesensitifan setiap parti politik, bagi mengelakkan ketidakpuasan hati mana-mana pihak. Contohnya ialah penetapan larangan ke atas parti politik daripada mengambil ahli atau pemimpin atau bekas ahli atau pemimpin parti politik rakan sebagai ahlinya.

Kewujudan garis-garis panduan yang lebih jelas, termasuklah kewujudan saluran perbincangan yang rasmi dan penubuhan jawatankuasa penyelaras bagi segenap peringkat, pastilah akan mengelakkan sesuatu kerjasama politik daripada sentiasa berhadapan dengan masalah.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 16/10/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.