Jariah arwah yang diteruskan oleh keluarganya

- Advertisement -

KUANTAN: Almarhum tidak pernah mengabaikan didikan agama kepada anak-anak dan tidak boleh mendakwa bapa mereka itu di hadapan Allah kelak, demikian kata Nik Marini Nik Yusof, 49.

- Advertisement -

Keyakinannya itu diungkapkan kepada rombongan ziarah Amalnita Pahang yang hadir berkunjung di kediaman keluarga ini di Perkampungan Peramu Tengah, di sini semalam.

Nik Marini baru kehilangan suami, Suhaimi Hassan, 56 yang bertugas di Lembaga Hasil Dalam Negeri di mana telah menghembuskan nafas terakhir kerana kanser darah pada hari Jumaat minggu lepas.

Arwah yang juga aktif memberi kuliah-kuliah di surau dan masjid di sekitar Kuantan turut diakui Nik Marini telah memberi didikan sempurna kepada sembilan anak-anak pasangan ini.

Menurutnya, anak-anak kerap menadah kitab dengan Almarhum termasuk dirinya, selain turut sama mengikuti penyampaian kuliah oleh suaminya di surau dan masjid yang diisi oleh arwah.

“Hasil dari pembelajaran dengan Almarhum samada di luar atau di rumah, saya dapat kongsikan pula di Kuliah-kuliah Dhuha Muslimat di sekitar Kuantan,” katanya.

Nik Marini yang mendapat pendidikan awal di Pusat Pengajian Taman Islam di Kemaman, telah memantapkan ilmu beliau menadah kitab sepanjang perkahwinan beliau dengan Almarhum.

Semua anak-anak Almarhum bersekolah agama dengan tiga daripadanya masih menuntut iaitu di Kaherah Mesir, Maahad Tahfiz Abu Bakar Kelantan dan Maahad Tahfiz Al-Istiqamah Temerloh.

“Sepeninggalan Almarhum, saya membina kekuatan dengan lebih banyak bermunajat kepada Allah memohon kekuatan dari-Nya dan mengamalkan apa jua ilmu yang Almarhum telah tinggalkan untuk meneruskan kehidupan ini,” tambahnya lagi.

Ketua Amalnita Pahang, Rosmawati Bohari melahirkan rasa simpati dan mendoakan semoga Nik Marini tabah dalam menghadapi ujian dan tetap kuat untuk meneruskan kehidupan bersama anak-anaknya sebelum menyampaikan sumbangan dari Yayasan Amal Pahang.

Manakala ADUN Pancing, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya, suami kepada Rosmawati turut hadir dan telah memberi kata-kata nasihat dan perangsang kepada anak-anak Almarhum untuk meneruskan kehidupan dan menjalankan tanggungjawab sebagaimana yang telah diamanahkan bapa mereka.

Turut hadir ziarah prihatin ini adalah Pengerusi Yayasan Amal Pahang, Johari Abd Wahid dan Ketua Lajnah Tarbiyah Negeri Pahang Ustaz Hazmi Dibok yang juga Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Paya Besar. – HARAKAHDAILY 16/10/2020

- Advertisement -