ADUN PAS mahu kejuaraan Liga Perdana dihargai

- Advertisement -

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang wajar memberikan bonus serta penghargaan kepada pemain dan pegawai pasukan bola sepak Pulau Pinang yang telah menjuarai Piala Liga Perdana pada tahun ini.

- Advertisement -

ADUN Penaga, Ustaz Mohd Yusni Mat Piah telah mengemukakan permintaan demikian ketika berucap dalam perbahasan Sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, di sini semalam.

Menurut beliau, kejayaan membanggakan itu telah membolehkan pasukan bola sepak Pulau Pinang layak ke saingan Piala Malaysia pada tahun ini dan seterusnya layak ke Liga Super 2021.

“Oleh itu perlu dihargai oleh kerajaan negeri. Penaga dalam masa yang sama mengucapkan tahniah kepada Presiden FAP, pegawai, jurulatih dan seluruh pemain di atas kejayaan tersebut ‘Haria Penang Haria’,” ujarnya.

Menurut beliau juga, atas permintaan peminat memohon agar kerajaan negeri mengumumkan secara rasmi syarikat yang mengambil alih pasukan bola sepak itu menjadi Penang FC pada tahun hadapan.

Beliau berkata, ianya supaya segala cakap dan desas-desus peminat di luar sana dapat dihentikan agar peminat tahu syarikat yang akan menerajui pasukan Penang FC itu kelak.

Terdahulu, pasukan bola sepak Pulau Pinang telah menjuarai Piala Liga Perdana buat kali pertama selepas mengumpul 26 mata daripada 11 perlawanan Liga Perdana. – HARAKAHDAILY 16/10/2020

- Advertisement -