Twitter Raja Farah Sofea disiasat polis

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Polis sudah membuka kertas siasatan terhadap kenyataan individu yang menyuarakan pandangan di laman Twitter, berhubung kemalangan meragut nyawa seorang anggota tentera di KM4 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, berhadapan Plaza Pelangi, di sini, Sabtu lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siasatan lanjut terhadap kenyataan Twitter yang menggunakan nama Raja Farah Sofea terbabit, kini sedang dilakukan mengikut Seksyen 505 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

- Advertisement -

“Kita sedang siasat sama ada akaun (Twitter) berkenaan palsu atau tidak. Individu berkenaan juga belum dipastikan lagi setakat ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis meraikan 320 pesara dan 34 bakal pesara polis serta pegawai awam Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Dalam kemalangan pada kira-kira 9 pagi, 10 Oktober lepas, seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Mohd Rizal Buseri, 31, maut, apabila Honda Accord dipandunya dirempuh Perodua Myvi dipandu seorang wanita berumur 23 tahun, yang hilang kawalan.

Sehari selepas kejadian itu, tular di laman Twitter atas nama Raja Farah Sofea yang didakwa menyuarakan pandangan mengenai kemalangan itu yang mencetuskan rasa kurang senang dalam kalangan pengguna laman terbabit.
 
Bagaimanapun, semakan mendapati kenyataan berkenaan sudah dipadamkan.

Terdahulu, ketika berucap meraikan pesara dan bakal pesara polis, Ayob Khan menasihati para pegawai dan anggota polis di Johor supaya menjauhi rasuah dan menegaskan tidak akan berkompromi dengan mereka yang terlibat dalam jenayah berkenaan.

Beliau berkata tangkapan ke atas dua pegawai kanan daripada Bukit Aman berkaitan kegiatan rasuah, minggu lepas, telah menjejaskan imej pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu sendiri. 

“Kalau kita lihat, tangkapan baharu yang dibuat melibatkan pegawai kanan polis, bukan sahaja di peringkat kontinjen atau negeri malah di peringkat Bukit Aman. 

“Seperti mana yang saya jelaskan sebelum ini, kalau ada anggota dan pegawai yang terlibat, kita akan buka kertas siasatan mengikut Seksyen 384/385 Kanun Keseksaan kerana melakukan pemerasan,” katanya.

Menurut Ayob Khan, sejak dilantik Ketua Polis Johor pada Mac lepas, seramai enam pegawai dan anggota polis di negeri ini sudah ditahan kerana terlibat pemerasan dan bersekongkol dalam elemen dadah, dengan sebahagiannya sudah didakwa di mahkamah. – BERNAMA

- Advertisement -