Suspek sindiket ‘cuci duit’ lari panjat pagar

PUTRAJAYA: Suspek utama sindiket ‘cuci duit’ atau pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan perniagaan melibatkan selebriti tanah air, melarikan diri daripada ditahan pihak polis dengan memanjat pagar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad lepas dengan dibantu dua pengawal peribadinya sebaik dilepaskan SPRM.

Suspek dikatakan keluar daripada kenderaan jenis Toyota Vellfire yang dinaikinya selepas dilepaskan dengan jaminan dan diserahkan SPRM kepada peguamnya di antara pintu lobi Ibu Pejabat SPRM dan pintu pagar utama, sebelum melarikan diri melalui pagar di kawasan pintu belakang bangunan itu petang  Ahad lepas.

Advertisement

Kira-kira setengah jam sebelum itu, suspek terbabit berusia dalam lingkungan 30-an dan lapan lagi suspek dibawa pulang ke Ibu Pejabat SPRM di sini untuk proses dokumentasi jaminan selepas mereka dilepaskan daripada reman setelah menjalani siasatan pengubahan wang haram.

Menurut sumber, berlaku kekecohan di lobi utama Ibu Pejabat SPRM itu apabila kesemua orang kena tahan (OKT) termasuk suspek terbabit enggan turun daripada  kenderaan SPRM kerana kehadiran anggota polis yang ramai di kawasan lobi itu.

Hasil perbincangan antara SPRM, polis dan peguam OKT yang hadir, pihak polis bersetuju untuk menunggu di pintu utama  Ibu Pejabat SPRM, kata sumber itu kepada Bernama hari ini.
 
Setelah proses dokumentasi jaminan selesai, kesemua OKT itu dilepaskan dan menaiki kenderaan iaitu empat kenderaan jenis Toyota Vellfire yang bersedia untuk mengambil dan menjemput mereka.

Sumber berkata suspek menaiki salah sebuah kenderaan Toyota Vellfire itu bersama-sama peguam, pengawal peribadi dan pemandu, dan ketika dalam pergerakan antara pintu lobi dan pagar utama, suspek dipercayai telah keluar dari kenderaan tersebut untuk melarikan diri.

“Suspek dibantu dua pengawal peribadi yang telah bersedia untuk membantu dia memanjat pagar dan meloloskan diri daripada tangkapan polis,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata semakan kamera litar tertutup (CCTV) kelihatan suspek memanjat pagar dengan bantuan dua pengawal peribadi dan sebuah kereta Perodua Myvi pula telah menunggu di tepi jalan untuk melarikan suspek.

Media pada Selasa melaporkan bahawa polis sedang memburu suspek utama sindiket pengubahan wang haram yang dilaporkan dengan meluas sebagai bergelar ‘Datuk Seri’ yang melarikan diri selepas dibebaskan SPRM.
 
Menurut sumber, individu yang melarikan diri itu bukan seorang yang bergelar ‘Datuk Seri’ seperti yang ditularkan ataupun dilaporkan.

Sumber dalam pada itu berkata tiga kenderaan Toyota Vellfire yang membawa lapan OKT lain yang telah dibebaskan SPRM ditahan polis ketika melalui pagar utama Ibu Pejabat SPRM dan kesemua mereka ditahan polis di situ.

Polis, kata sumber itu menyedari kehilangan suspek utama itu apabila mereka menahan kenderaan yang dinaiki suspek ketika melalui pintu pagar utama.

Pada 8 Oktober, Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata pihaknya mengesan ratusan syarikat dami yang diwujudkan bagi mengaburi pihak berkuasa berhubung sindiket pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan perniagaan melibatkan selebriti.

SPRM dikatakan turut menyita 23 kenderaan mewah pelbagai jenis antaranya Ford Mustang, Rolls Royce, Bentley, Ferrari dan Porsche serta beberapa motosikal berkuasa tinggi dimiliki ahli sindiket dipercayai hasil kegiatan haram.

Sebelum ini, SPRM turut dilaporkan memanggil pasangan selebriti untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes pengubahan wang haram berkenaan. – BERNAMA