Siasat Anwar bawah seksyen 505 (b) – UMMAH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera terhadap Presiden PKR, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menimbulkan keresahan rakyat.

Pengerusi UMMAH, Mohd Zai Mustafa berkata, tindakan Anwar itu satu pembohongan dan cubaan mempermainkan institusi raja dan Perlembagaan Persekutuan dengan membuat pengumuman yang tidak berasas.

- Advertisement -

Selain itu kenyataan Anwar itu katanya boleh mencetuskan huru-hara dalam kalangan rakyat dan mampu menjejaskan kestabilan ekonomi negara.

“Tindakan sedemikian mewujudkan implikasi menghilangkan kepercayaan rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kerana kenyataan (Anwar) itu bercanggah sepertimana yang dikeluarkan oleh Istana Negara,” katanya.

Mohd Zai berkata demikian selepas menemani Md Shukor Aziz membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini sebentar tadi.

Laporan dibuat terhadap kenyataan Anwar yang mendakwa mempunyai majoriti Ahli Dewan Rakyat yang menyokongnya untuk membentuk kerajaan baharu sekali gus menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Dalam laporan itu, Md Shukor berharap Anwar disiasat mengikut seksyen 505 (B) kanun keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan menimbulkan ketakutan dan kegentaran kepada orang ramai.

Pada 13 Oktober, Anwar telah menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara bagi meneruskan hasratnya mempersembahkan keterangan bahawa dia mempunyai jumlah majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membentuk kerajaan baharu.

Selesai menghadap Yang di-Pertuan Agong, Anwar mengadakan sidang media pada jam 2 petang di Hotel Le Meridien, Kuala Lumpur, di sini.

Dalam sidang media itu, Anwar berkata dia telah mempersembahkan dokumen sahih membuktikan sokongan lebih 120 Ahli Dewan Rakyat kepada Yang di-Pertuan Agong pada pertemuan pagi itu yang mengambil masa hampir 25 minit.

Selang beberapa ketika pihak istana mengeluarkan kenyataan rasmi menerusi Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin menjelaskan Anwar hanya mengemukakan jumlah sokongan tanpa sertakan senarai nama Ahli Dewan Rakyat bagi menyokong dakwaannya itu.

Lantaran itu, Al-Sultan Abdullah menasihati Anwar untuk akur dan menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Ini merupakan satu kenyataan yang memanipulasikan rakyat untuk tidak mempercayai Yang di-Pertuan Agong dan mungkin juga cuba untuk menjatuhkan kredibiliti Yang di-Pertuan Agong.

“Justeru itu, UMMAH meminta agar pihak polis menyiasat tentang perkara ini kerana ia merupakan satu kenyataan yang amat besar implikasinya terhadap negara,” kata Mohd Zai. – HARAKAHDAILY 15/10/2020

- Advertisement -