Semua pihak diseru kukuhkan perpaduan

- Advertisement -

GERAKAN Pembela Ummah (UMMAH) menyeru kepada semua pihak, bermula daripada pemimpin parti-parti politik Melayu Islam, NGO Islam dan tokoh serta pemimpin negara agar terus fokus kepada agenda memperkukuhkan perpaduan ummah di kalangan rakyat di negara ini. Sebarang propaganda memecah belahkan perpaduan ummah adalah agenda asing yang berselindung di sebalik tabir Liberalisasi.

Sebarang tindakan atau kenyataan yang dibuat oleh mana-mana pihak yang akan menyebabkan berlakunya perpecahan ummah, maka ia akan tetap merugikan orang Melayu dan Islam di negara ini, serta akan menyumbang kepada ketidakstabilan politik dan menghakis kuasa orang Melayu Islam.

Sehubungan dengan itu, UMMAH menyeru kepada semua pihak agar mengambil tanggungjawab untuk bertindak memelihara dan memperkukuhkan perpaduan ummah yang akan membawa kepada kemakmuran dan kesejahteraan rakyat, kerana ia adalah ajaran Islam yang merentasi ideologi kepartian, bangsa dan kaum.

- Advertisement -

Semua pihak sewajarnya belajar daripada sejarah, apa yang berlaku sebelum ini, apabila tiada perpaduan, kuasa akan hilang dan akhirnya kepentingan Islam dan Melayu akan tergadai. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Himpunan perpaduan ummah ICERD yang terbesar dalam sejarah negara, telah berjaya merentasi sempadan politik dan bangsa adalah bukti, bahawa orang Melayu Islam perlu bersatu padu dan bersama-sama memperkasakan perpaduan ummah bagi mempertahankan kedaulatan negara, Raja-raja Melayu, Agama, Bangsa dan Negara.

MOHD ZAI MUSTAFA
Pengerusi
Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) – HARAKAHDAILY 15/10/2020

- Advertisement -