PKPB di Lembah Klang, Putrajaya langkah penting

Foto SOLAHUDDIN AL-IDRUS
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan mengadakan semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi kawasan-kawasan yang berisiko tinggi di zon merah yang melibatkan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya adalah wajar.

Menurut Pengamal Perubatan, Dr Najihatussalehah Ahmad berkata ia merupakan satu langkah yang sangat penting bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di kawasan menunjukkan angka meningkat berbanding dengan gelombang pertama.

- Advertisement -

Bagaimanapun, katanya laporan kes Covid-19 akhir-akhir ini terutamanya selepas seminggu Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah telah menunjukkan peningkatan angka.

“Kita dapati kes yang melibatkan mereka yang baru pulang daripada kawasan berisiko tinggi iaitu di Sabah hampir mencecah 400 kes,” katanya.

Ujarnya, kes-kes lain adalah melibatkan kalangan kluster penjara di Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

“Ini bermakna kes-kes ini merupakan kes terkawal kerana ia berada dalam lingkungan tembok penjara,” kata Dr Najihatussalehah.

Lantaran itu Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat itu menyanggah ahli politik pembangkang yang mengambil kesempatan dengan peningkatan kes Covid-19 ini untuk membuat satu pergerakan politik bagi menjatuhkan kerajaan sedia ada.

Tambahnya lagi, sewajarnya seluruh rakyat Malaysia berterima kasih dengan tindakan yang diambil oleh kerajaan pada hari ini.

“Sebelum gelombang ketiga ini, Perdana Menteri telah mengumumkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) 2.0 dan saya rasa ramai majikan yang mendapat manfaat daripada pengumuman itu.

“Malah rakyat Malaysia yang mahukan bantuan moratorium boleh juga berbuat demikian,” katanya kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru semua pihak untuk bersama menyokong usaha kerajaan dengan mengukuhkan ekonomi di sektor masing-masing.

“Mudah-mudahan dengan kerjasama seluruh rakyat Malaysia dan juga pemimpin yang ada dapat membantu mensejahterakan negara kita.

“Marilah bersama kita berusaha ke arah mengekang penularan Covid-19 dan diharapkan paras kes menurun tidak lama lagi,” katanya.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor berkuat kuasa 14 Oktober jam 12.01 tengah malam sehingga 27 Oktober. – HARAKAHDAILY 15/10/2020

- Advertisement -