PJ PAS Johor jengah nasib hidup penduduk

- Advertisement -

PONTIAN: Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Ustaz Abdullah Husin telah mengadakan kunjungan ziarah menyantuni keluarga penduduk yang memerlukan bantuan di Pulai Sebatang, di sini semalam.

- Advertisement -

Antara dilawati beliau yang juga Pengerusi Penyelaras Khas DUN Pulai Sebatang adalah ibu tunggal, pesakit stroke, penghidap sakit jantung kritikal dan pelbagai ujian kehidupan lain.

Daripada dapatan beliau, kebanyakan mereka juga mempunyai tanggungan yang ramai dan besar khususnya melibatkan anak-anak dalam pengajian di pra-sekolah hingga ke universiti tempatan.

Pada kesempatan pertemuan tersebut, Ustaz Abdullah turut menyampaikan sumbangan betupa keperluan harian dapur serta wang tunai bagi meringankan sedikit beban ditanggung mereka.

“Saya harap dapat beri lebih lagi pada masa akan datang. Doakan saya terus istiqamah,” ujar beliau mendoakan mereka dan mengharapkan mereka ditemuinya dapat juga mendoakan untuknya.

Turut serta adalah pimpinan PAS Kawasan Pontian iaitu Ketua Penerangan, Badrul Hisham Mat Saad dan Ketua Muslimat, Siti Haidar Othman dan wakil dari Umno Pulai Sebatang.

Ustaz Abdullah turut menziarahi lima keluarga membabitkan 18 mangsa yang terlibat dalam kejadian kebakaran di Parit Asam Kumbang, Mukim Sungai Pinggan, di sini malam kelmarin.

Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan di mana tragedi tersebut menyebabkan semua mangsa hilang tempat tinggal dan kini ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara di Dewan Parit Seraya Benut.

Antara berada semasa lawatan itu adalah Ketua Kampung, Faiz Abdullah dan Penghulu, Rahim Mohd serta wakil-wakil agensi kerajaan yang membantu dan menguruskan keperluan semua mangsa.

Turut hadir adalah Pengerusi Penyelaras Khas DUN Pekan Nenas, Dr Karim Deraman yang telah menyampaikan sumbangan wang tunai kepada keluarga mangsa bagi meringankan beban mereka. – HARAKAHDAILY 15/10/2020

- Advertisement -